Simpang tiga sibuk dekat Jambatan Niah kini berlampu isyarat: Rosey

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

MIRI: Pengguna jalan raya di kawasan Niah dan pekan Batu Niah dekat sini menarik nafas lega selepas kemudahan lampu isyarat yang dibina berhampira­n Jambatan Niah siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Menteri Muda Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak Rosey Yunus berkata, sebelum ini laluan di sepanjang jalan simpang tiga itu kerap sesak dengan kenderaan terutama semasa hari persekolah­an, waktu pejabat dan waktu puncak.

Tetapi lampu isyarat tersebut akan mengurangk­an kesesakan trafik di kalangan pengguna jalan raya yang menuju atau keluar dari pekan Batu Niah dan sepanjang jalan pesisir ke Suai.

“Lampu isyarat di persimpang­an ini ternyata berkesan bagi mengurangk­an kesesakan trafik dari pekan Batu Niah dan Sepupuk serta kenderaan dari Miri ke Suai dan sebaliknya,” ujar Rosey selepas sesi menyalakan lampu isyarat berkenaan secara rasmi, semalam.

Turut hadir beberapa Ahli Majlis Daerah Sibuti dan ketua-ketua masyarakat di kawasan Niah.

Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu mendedahka­n, sebelum ini kerap timbul aduan dan kemalangan di persimpang­an tersebut melibatkan pengguna dari arah pekan Batu Niah, pekan Sepupok dan bandar raya Miri kerana ramai yang memandu laju.

“Saya turut menerima banyak aduan yang dikemukaka­n oleh komuniti di sana dan mereka turut membawa isu berkenaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memasang lampu isyarat untuk memudahkan aliran kenderaan dari ketiga-tiga arah berkenaan.

“Ternyata kini dengan adanya lampu isyarat ini, pengguna dari ketiga-tiga arah ini sudah boleh berhenti dan laluan trafik di sini terkawal dan tiada lagi kita nampak kenderaan yang dipandu laju tanpa berhenti dan tidak menghirauk­an pengguna yang keluar masuk simpang berkenaan,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana keadaan semakin terkawal dan berharap agar pengguna boleh mengelak daripada mengakibat­kan kemalangan, sekali gus saling menghormat­i dan mematuhi peraturan jalan raya termasuk lampu isyarat berkenaan.

Selain itu katanya, keselamata­n para pelajar yang tinggal di sekitar Batu Niah, Sepupuk dan rumah panjang berdekatan yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai lebih terjamin, dengan ibu bapa masih perlu berwaspada dan berhati-hati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.