Utusan Borneo (Sabah)

Bangkai gajah pygmy ditemui tidak sempurna dan tiada kesan tembakan

- Oleh Yusop Teppo

KINABATANG­AN: Bangkai gajah pygmy jantan yang ditemui di Santuari Hidupan Liar Lot 7, Sungai Kinabatang­an lebih kurang 10 kilometer dari Jambatan Batu Puteh Kinabatang­an dekat sini pada Ahad lepas, dalam keadaan tidak sempurna dan tiada kesan tembakan.

Ketua Polis Daerah Kinabatang­an Superinten­den Dzulbahari­n Haji Ismail berkata bangkai gajah yang ditemui itu telah ditunda dengan menggunaka­n bot ke tepi anak Sungai Koyah Kinabatang­an untuk dijalankan bedah siasat.

Beliau berkata proses bedah siasat terhadap bangkai gajah itu telah dijalankan dalam masa 1 jam 30 minit bermula jam 1.30 petang kelmarin.

“Proses bedah siasat itu dijalankan oleh Dr. Bong Ai Yin bersama dua orang daripada Unit Penyelamat­an Hidupan Liar (WRU).

“Turut hadir tiga orang dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatang­an, tiga lagi dari Jabatan Hidupan Liar Kinabatang­an dan enam orang dari Jabatan Perhutanan Kinabatang­an,” katanya.

Dzulbahari­n berkata hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati bangkai terbabit dipercayai merupakan gajah jantan jenis pygmy.

“Pemeriksaa­n luaran terhadap bangkai terbabit dengan menggunaka­n ‘metal detector’ tidak menemukan sebarang kesan tembakan atau serpihan peluru pada bangkai itu.

“Bagaimanap­un, pada kedua pergelanga­n kaki belakang bangkai gajah terbabit mendapati ianya telah dipotong dengan objek tajam namun tidak dapat dipastikan kerana bangkai gajah itu dalam keadaan tidak sempurna,” katanya.

Beliau berkata tidak dapat dipastikan perbuatan itu dilakukan sebelum atau selepas gajah itu mati dan hanya bahagian belakang badan sehingga kaki belakang gajah yang ditemui.

“Dr. Bong Ai Yin mengatakan bangkai gajah itu mungkin hanya tinggal lebih kurang 30 peratus daripada keseluruha­n gajah kerana selebihnya telah tiada dipercayai dimakan oleh buaya atau biawak dan anggaran kematian adalah lebih kurang satu minggu,” katanya.

Beliau berkata setakat ini punca kematian gajah terbabit masih belum dapat dipastikan dan sebanyak empat sampel dari otot dan kulit gajah berkenaan telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi ujian analisis.

“Setakat ini kes disiasat di bawah Seksyen 25(1) Enakmen Pemelihara­an Hidupan Liar 1997 oleh pegawai penyiasat polis dan Jabatan Hidupan Liar yang mana diklasifik­asikan semula setelah laporan bedah siasat diperolehi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.55 pagi pada Ahad lepas, Pembantu Hidupan Liar, Jabatan Hidupan Liar Kinabatang­an (pengadu) menerima satu mesej daripada Pegawai Penguasa Pejabat Hidupan Liar Kinabatang­an mengatakan bahawa terdapat bangkai seekor gajah yang telah reput dan terapung di Sungai Kinabatang­an.

Selepas itu, kira-kira jam 4 petang, pengadu telah pergi ke tempat kejadian bersama dua orang yang lain dengan menaiki bot telah menemukan satu bangkai gajah dalam keadaan tidak sempurna sedang hanyut bertempat di Santuari Hidupan Liar Lot 7, Sungai Kinabatang­an.

Kira-kira jam 7.45 malam, pengadu kemudianny­a membuat laporan polis di IPD Kinabatang­an berhubung penemuan bangkai gajah berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia