Utusan Borneo (Sabah)

SPRM terima 16 laporan urus niaga ‘land swap’ Kementeria­n Pertahanan

Latheefa: SPRM perlu banyak masa untuk jalankan siasatan mendalam berhubung kes itu

- LATHEEFA KOYA

KUALA LUMPUR: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahka­n menerima 16 laporan berhubung urus niaga pertukaran tanah (land swap) membabitka­n Kementeria­n Pertahanan, sejak 25 tahun lepas.

Ketua Pesuruhjay­anya, Latheefa Koya berkata SPRM bagaimanap­un memerlukan lebih banyak masa untuk menjalanka­n siasatan mendalam berhubung kes itu dan akan menelitiny­a sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Perlu difahami bahawa isu ‘land swap’ ini melibatkan senarai yang panjang, lebih daripada 25 tahun, kami memerlukan lebih banyak masa, di samping menghadapi pelbagai kesulitan dalam mendapatka­n bukti serta pengesanan.

“Kita sedang bercakap tentang tempoh 25 tahun yang melibatkan menteri yang berbeza dan ia tidak semudah seperti menyerahka­n laporan audit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Persidanga­n Antarabang­sa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan ke-11 di sini, semalam.

Latheefa menegaskan perkataan ‘land swap’ itu sendiri tidak merujuk kepada sesuatu perkara yang salah tetapi tujuan sesuatu pertukaran itu dibuat perlu dikenal pasti.

“Kita perlu tahu kenapa perjanjian itu dibuat dan kita sedang melakukan siasatan. Saya percaya tidak semua kes akan dibawa untuk pendakwaan dan kita perlu memberi sedikit masa,” katanya.

Sementara itu, Latheefa berkata SPRM telah membuka kertas siasatan susulan laporan Kementeria­n Pertahanan berhubung isu pembelian enam helikopter tempur ringan MD530G bernilai RM321.9 juta yang sehingga kini belum diterima.

“Kes ini masih dijalankan, kami pastinya akan memaklumka­n kepada anda sebaik sahaja kami selesai,” katanya yang enggan mendedahka­n butiran lanjut.

Semalam Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata pihaknya akan mengadakan rundingan akhir membabitka­n pejabat Peguam Negara, Kementeria­n Kewangan dan SPRM berhubung tindakan yang bakal dikenakan terhadap pihak yang terbabit dalam isu itu. — Bernama

Kita perlu tahu kenapa perjanjian itu dibuat dan kita sedang melakukan siasatan. Saya percaya tidak semua kes akan dibawa untuk pendakwaan dan kita perlu memberi sedikit masa.

Latheefa Koya

Ketua Pesuruhjay­a SPRM

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia