Utusan Borneo (Sabah)

Basikal lajak: Jangan jadi jaguh yang sia-sia

-

KUALA TERENGGANU: “Jangan jadi jaguh yang siasia. Berlumba dengan basikal lajak yang tiada brek bagai sengaja menempah maut”, kata pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh.

Beliau yang mengakui pernah terlibat dalam aktiviti merbahaya itu sebelum menjadi pelumba bertaraf antarabang­sa sebenarnya mempunyai kenangan pahit kerana ada di antara rakannya meninggal dunia ketika asyik berlumba hingga berlanggar dengan kereta.

Lebih memeritkan, ketika kejadian itu rakannya baru berusia 14 tahun, malah beliau sendiri pernah mengalami kecederaan hingga patah kaki dan tangan pada usia yang muda.

Mohd Harrif, 31 berkata pada sekitar 1998, Terengganu terkenal dengan perlumbaan basikal di kalangan kanak-kanak dan remaja tetapi ketika itu ia dipanggil ‘geng basikal nyamuk’.

“Basikal ini tiada brek, tiada lampu dan diubah suai supaya mempunyai kelajuan luar biasa. Saya mungkin bernasib baik kerana tidak terjebak terlalu lama dan pernah rasa bersalah kepada ibu yang tidak lena tidur memikirkan anak yang tidak pulang meskipun telah awal pagi.

“Kebiasaan kami akan berlumba pada setiap malam Jumaat, bermula jam 12 tengah malam. Masa tu lebih 150 orang boleh dikumpul dalam satu-satu masa. Ramai kanakkanak dari merata ceruk kampung akan keluar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Mohd Harrif, yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 dan kini menjadi pakar pecut dalam pasukan TSG berkata kawasan yang menjadi tumpuan ketika itu ialah sekitar Jalan Kamaruddin dan Batu Buruk, Kuala Terengganu, malah perlumbaan dilakukan dalam keadaan gelap di celah-celah kesibukan jalan raya.

Ketika ditanya bagaimana beliau akhirnya meninggalk­an ‘geng basikal nyamuk’ tersebut, Mohd Harrif berkata ia berlaku secara tidak sengaja apabila bakatnya dilihat oleh beberapa individu yang bertanggun­gjawab menjejak pelumba-pelumba basikal untuk diasah menjadi profesiona­l.

Pada usia 14 tahun, beliau dipilih menyertai beberapa pertanding­an ‘halal’ yang dikawal selia oleh Persatuan Berbasikal Terengganu dan diberi kepercayaa­n hingga mampu mewakili negeri serta negara.

Menurutnya, meskipun ramai bakat dicungkil daripada aktiviti merbahaya itu tetapi ia bukanlah perkara yang baik jika tidak dikawal kerana jiwa kanak-kanak tidak memikirkan musibah selain keseronoka­n dan memenuhi cabaran kawan-kawan.

“Saya bersetuju apabila pihak polis membantera­s aktiviti geng basikal lajak ini terutama di lebuh raya. Tetapi lebih elok sekiranya ada pihak yang ingin membantu kanakkanak ini ke arah yang betul kerana mereka sebenarnya perlukan bimbingan.

“Jika betul caranya, mereka juga mampu menjadi pelumba profesiona­l. Terengganu mampu menjadi contoh atas kesungguha­n pihak berkuasa mengawal. Sebelum ini pun, ketika saya kanak-kanak... pihak polis giat melakukan rondaan sampai basikal saya pun pernah ‘diangkut’ sama,” katanya yang mula terjebak pada usia 12 tahun.

Tambah Mohd Harrif, komuniti setempat di negeri itu juga memainkan peranan dalam menghalang akiviti itu berterusan terutama ketua kampung dan ketika era ‘geng basikal nyamuk’, guruguru bekerjasam­a dengan pihak polis dalam memberi nasihat kepada mereka yang terlibat.

Mengikut rekod yang dikeluarka­n Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Bukit Aman pada Isnin, Terengganu tidak tersenarai dalam lokasi yang dijadikan litar basikal lajak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia