Utusan Borneo (Sabah)

Wang zakat harus diberikan kepada bukan Islam di Sabah: Mufti

- Oleh Amir Anuar

KOTA KINABALU: Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar mendedahka­n hukum memberikan zakat kepada orang bukan Islam di negeri ini harus tetapi bersyarat.

Kenyataan itu mengambil kira keputusan Majlis Fatwa Negeri Sabah (MFNS) yang dikeluarka­n semenjak lima tahun lepas berhubung status zakat dengan orang bukan Islam.

“Secara umum, (hukumnya) harus. Itu fatwa negeri kita,” katanya, ketika ditemui dalam Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Negeri di Wisma Muis di sini, semalam.

Bungsu berkata pengagihan zakat kepada golongan memerlukan seperti asnaf fakir miskin boleh diberikan kepada orang bukan Islam, namun keutamaan untuk orang Islam.

Menurutnya, fatwa yang dikeluarka­n lima tahun lepas juga menyebut bahawa takrif mualaf diperluask­an, iaitu turut melibatkan golongan asnaf daripada orang bukan Islam.

“Sudah tentu ada beberapa syarat (perlu dipatuhi), sebab perlu melihat situasi sesebuah kes (melibatkan orang bukan Islam yang menjadi calon penerima zakat) terlebih dahulu.

“Penilaian untuk pemberian zakat kepada orang bukan Islam juga perlu melihat kepada keperluan-keperluan khusus yang mereka perlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau percaya amalan pengagihan zakat kepada orang bukan Islam juga sudah dilaksanak­an oleh Pusat Zakat Sabah dalam tempoh lima tahun kebelakang­an ini.

Menyentuh mengenai kekeliruan masyarakat Sabah berhubung isu berkaitan, beliau menyaranka­n supaya orang ramai sentiasa merujuk kepada fatwa yang dikeluarka­n.

Terdahulu, isu terbabit mendapat perhatian umum susulan kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju jika wang zakat turut diagihkan kepada orang bukan Islam yang miskin.

Bagaimanap­un, kenyataan presiden Parti Keadilan Rakyat berkenaan menerima pelbagai maklum-balas yang berbeza daripada orang ramai termasuk mufti-mufti di Semenanjun­g.

 ??  ?? BUNGSU
BUNGSU

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia