Utusan Borneo (Sabah)

Peluang terbaik skuad B-22 raih emas Sukan SEA

-

KUALA LUMPUR: Malaysia hanya perlu menjelmaka­n semangat ‘Harimau Malaya’ selepas memiliki segala keupayaan, untuk menamatkan dominasi Thailand dalam acara bola sepak di Sukan SEA 2019 Filipina, sekali gus merangkul pingat emas pertama, dalam tempoh lapan tahun.

Edisi 2011 di Jakarta merupakan kali terakhir Malaysia meraih emas di Sukan SEA, sebelum giliran Thailand mempertaha­nkan ‘ibu segala pingat’ itu dalam tiga edisi berikutnya, termasuk kejayaan menewaskan Malaysia 1-0 di pentas final edisi 2017, di Stadium Shah Alam.

Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara kini dibarisi sebahagian besar pemain yang telah bersama sejak kempen kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC) 2020, Mac lalu, selain beberapa pemain yang sudah bersama pengendali Datuk Ong Kim Swee, sejak tiga tahun lepas.

Kelebihan itu ternyata melegakan Kim Swee, meskipun terpaksa menempuh beberapa kekangan tertentu, dalam menyediaka­n pasukan terbaik menjelang saingan di Manila nanti.

“Ini salah satu faktor yang agak membantu di mana saya tidak perlu fikir tentang perkara asas. Jurang masa amat pendek untuk saya menyediaka­n pasukan daripada segi taktikal di mana ia amat penting untuk difahami semua pemain apabila kita bertemu pasukan-pasukan tertentu,” katanya kepada Bernama.

Seramai 23 pemain daripada 28 disenaraik­an Kim Swee ke kem latihan pusat bermula Isnin lepas hadir melaporkan diri, namun pengendali berusia 48 tahun itu jelas masih menunggu ketibaan beberapa pemain, yang kini sedang menabur bakti bersama skuad B-18 dan skuad kebangsaan.

Antara pemain itu adalah Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Muhamad Umar Hakeem daripada skuad B18 sementara Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Syahmi Safari dan Dominic Tan yang bersama skuad kebangsaan ketika ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia