MEMBAKUT DILANDA BANJIR

Susulan hujan berterusan di kawasan hulu sejak kelmarin

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh Vivi Olviana Najurus dan Kenneddy Corlleus

BEAUFORT: Kawasan pekan lama Membakut dan beberapa perkampung­an sekitarnya dilanda banjir antara 0.5 meter hingga 1.5 meter, berikutan hujan berterusan di kawasan hulu sejak petang kelmarin.

Beberapa jalan utama menuju ke kawasan pekan lama dilapor hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Antara kampung teruk terjejas banjir termasuk Kampung Bambangan, Sinuko, Sindok, Baitam, Jambatan Baru, Kampung Baru dan Lampijas selain kawasan pekan lama Membakut.

Sehingga jam 5 petang semalam, seramai 19 mangsa banjir dari lapan keluarga dipindahka­n ke Dewan Pusat Pemindahan Mangsa Bencana Selagon, seawal jam 8 pagi semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kol (PA) Kamal Mokhtar berkata kesemua mangsa banjir termasuk lima kanak-kanak itu adalah mangsa banjir dari Kampung Baitam, Jambatan Baru dan Kampung Baru.

“Setakat ini paras air di kawasan ini berada pada tahap bahaya iaitu 7.25 meter dan banjir turut menjejaska­n 11 kampung masing-masing Bambangan, Sinuko, Sindok, Baitam Ulu, Lumantak, Baitam Laut, Jambatan Baru, Kayai, Papas, Baitam dan Kampung Baru.

“Beberapa laluan termasuk Jalan Baitam Laut tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan manakala Jalan Poring hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja dan anggota kita melakukan pemantauan berterusan di sekitar kawasan terjejas untuk bersedia dengan sebarang kecemasan,” katanya.

Menurutnya, operasi disertai tiga pegawai dan 30 anggota lain-lain pangkat bersama kereta pacuan empat roda serta lori milik APM.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Haji Mohd Arifin Arif, yang turun padang memantau keadaan banjir di kawasan terlibat berkata setakat ini lapan keluarga dari kampung Baitam dipindahka­n ke pusat pemindahan banjir di Kampung Salagon, Beaufort.

Katanya, pihak berkuasa bomba, APM, polis, RELA dan Pejabat Daerah akan terus membuat pemantauan di semua lokasi banjir.

Beliau berkata sekiranya hujan berterusan, ada kemungkina­n lebih ramai penduduk terjejas akan dipindahka­n ke pusat pemindahan sementara.

Pusat Operasi dan Pemindahan Banjir sudah pun diaktifkan ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Arifin yang juga Ketua Penaja BERSATU Bahagian Kimanis berkata kawasan pekan Membakut juga terjejas ekoran kejadian banjir kali ini di mana jalan dari Pejabat Pos, Balai Polis dan Sekolah Agama Negeri Pekan Membakut menuju ke kedai baru ditenggael­ami air dan ditutup kepada semua kenderaan.

“Kita berharap semua pihak sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya keadaan banjir berterusan,” katanya.

BANTU: Anggota keselamata­n membantu memindahka­n penduduk terjejas.

BANJIR: Penduduk terjejas banjir dipindahka­n menggunaka­n bot untuk ke pusat pemindahan.

PRIHATIN: Ariffin (tengah) ketika meninjau kawasan banjir di pekan Membakut.

PINDAH: Anggota APM semasa membantu memindahka­n sebuah keluarga terjejas banjir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.