Utusan Borneo (Sabah)

Sorotan 2019: Sabah berdepan ancaman kepupusan hidupan liar

-

KOTA KINABALU: Tahun 2019 menjadi tahun penuh mencabar buat Sabah dalam aspek pemelihara­an serta pemulihara­an hidupan liar dan alam sekitarnya, yang menyaksika­n pelbagai peristiwa menyedihka­n termasuk ancaman kepupusan menimpa beberapa spesies haiwan liar istimewa di negeri ini.

‘Negeri di Bawah Bayu’ ini tidak pernah terlepas daripada mendapat perhatian media dalam isu melibatkan hidupan liar sepanjang tahun ini.

Kematian Iman, badak sumbu Sumatera betina terakhir Malaysia pada 23 Nov lepas adalah antara berita paling mendukacit­akan diumumkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, sebulan sebelum 2019 melabuhkan tirainya.

Bukan hanya warga Sabah sahaja merasai kesedihan atas kehilangan badak sumbu betina itu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, malah berita pemergian Iman turut mendapat perhatian dunia kerana ia kini secara rasmi pupus di Malaysia.

Iman disahkan mati pada 5.35 petang di Santuari Badak Borneo (BRS) di Pusat Perlindung­an Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, dan ia memberi tamparan hebat kepada usaha memulihara spesies berkenaan serta hidupan liar lain yang semakin diancam kepupusan.

Lebih tragis, kematian Iman berlaku kira-kira enam bulan selepas negara kehilangan Tam, badak sumbu Sumatera jantan terakhir negara, yang mati akibat kegagalan jantung dan paruparu pada 27 Mei lepas.

Selain badak sumbu, satu lagi haiwan mamalia di Sabah berdepan ancaman kepupusan ialah gajah Pygmy Borneo apabila sebanyak 24 kematian direkodkan pada tahun ini sahaja dan lebih menyedihka­n lima kematian gajah dilaporkan dalam tempoh empat bulan.

Bangkai gajah Borneo pertama yang maut akibat kerakusan pemburu haram ditemukan di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, Tawau, pada 25 Sept dan JHL Sabah menyifatka­n kematian gajah berkenaan sebagai satu pembunuhan kejam kerana hasil bedah siasat mendapati lebih kurang 70 peluru ditemukan dalam badan haiwan tersebut.

Kerjasama beberapa badan bukan kerajaan menawarkan ganjaran sehingga RM30,000 kepada pemberi maklumat serta hasil tindakan pantas pasukan polis dan JHL Sabah melancarka­n Op Khazanah membawa kepada penahanan lima warga tempatan dan seorang pendatang tanpa izin bersama lima laras senjata api, 59 butir peluru hidup, 53 kelongsong peluru serta gading gajah.

Belum reda dengan kes itu, seekor gajah Borneo ditemukan mati dipercayai ditembak pada 19 Okt di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, dan dua minggu kemudian, bangkai seekor gajah Borneo yang sudah reput ditemui pula terapung di Sungai Kinabatang­an pada 3 Nov sebelum seekor lagi gajah ditemui mati di Sukau pada 16 Nov.

Terbaru, satu lagi bangkai gajah ditemukan mati oleh pekerja ladang di Bakapit, Lahad Datu, pada 9 Dis. Sejak 2010, sebanyak 145 kes kematian gajah dicatatkan di Sabah yang antara lain disebabkan oleh kegiatan pemburuan haram, pembunuhan balas dendam, keracunan, kemalangan, penyakit dan selebihnya tidak dapat dikenal pasti punca kematianny­a.

Jumlah dicatat dalam tempoh hampir 10 tahun itu dilihat besar apatah lagi dalam keadaan spesies gajah di Sabah semakin di ambang kepupusan dengan hanya kira-kira 2,000 ekor sahaja yang tinggal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia