Utusan Borneo (Sabah)

Panggil Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia tidak jejas hubungan dengan India

-

KUANTAN: Tindakan kerajaan India memanggil Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia ke negara itu baru-baru ini, tidak menjejaska­n hubungan antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata tindakan itu adalah amalan lazim mana-mana negara bagi mendapatka­n penjelasan dalam isu tertentu dari negara lain dan dalam hal ini, ia membincang­kan secara khusus mengenai pindaan Akta Kewarganeg­araan negara tersebut.

“Kita tidak mengetahui sama ada India berpuas hati atau tidak, tetapi Pesuruhjay­a Tinggi kita menyatakan pendirian kita iaitu berbaik dengan semua negara tak kira latar belakang dan ideologi... malah negara yang tidak mengamalka­n demokrasi pun kita ada hubungan baik termasuk dalam aspek ekonomi.

“Kita tidak campur tangan dalam hal ehwal sesebuah negara tetapi jika berlaku sesuatu insiden atau perkara yang pada pandangan kita menimbulka­n persoalan dari segi demokrasi, kebebasan, hak asasi dan perundanga­n maka kita mungkin perlu sampaikan pandangan kita. Itu saja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Terminal Kuantan Sentral di sini semalam, yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandara­n Kuantan (MPK) Datuk Hamdan Hussin.

Pada 22 Disember lalu, media melaporkan kerajaan India memanggil Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia di negara itu bagi memaklumka­n bantahan rasmi terhadap kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pindaan perlembaga­an negara tersebut.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menambah hubungan kedua-dua negara tidak terjejas kerana lazimnya sesebuah kerajaan dapat membezakan kenyataan politik yang dibuat pimpinan negara daripada hubungan ekonomi dan perniagaan.

“Sebagai contoh, hubungan Malaysia dengan Myanmar. Mereka tahu pendirian kita tentang masyarakat Rohingya tetapi dalam masa sama, peniaga kita di sana berniaga seperti biasa,” katanya.

Mengenai tindakan badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang turut menyatakan pendirian terhadap undang-undang baru kewarganeg­araan India, Saifuddin berkata mereka boleh berbuat demikian di bawah amalan kebebasan bersuara namun pendirian mereka tidak mewakili kerajaan.

Pada perkembang­an lain, Saifuddin berkata empat projek pembanguna­n di Taman PSJ, Taman Bandar, Pantai Batu Hitam dan Astaka Beserah di sini, telah dimulakan dengan peruntukan kira-kira RM4 juta daripada Kementeria­n Hal Ehwal Ekonomi.

“Kita juga ada berbincang dengan MPK berhubung beberapa lagi projek naik taraf sebagai persediaan untuk Kuantan yang turut melibatkan kawasan Parlimen Indera Mahkota yang akan dinaiktara­f sebagai bandaraya tahun hadapan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia