Utusan Borneo (Sabah)

Uruguay rampas 4.4 tan kokain

Tamparan terbesar kepada pengedaran dadah dalam sejarah negara

-

MONTEVIDEO: Pihak berkuasa Uruguay merampas 4.4 tan kokain yang memecah rekod di pelabuhan Montevideo dalam kejayaan yang digambarka­n oleh tentera laut pada Jumaat sebagai ‘tamparan terbesar kepada pengedaran dadah dalam sejarah negara’.

Dalam operasi tentera laut bersama jabatan kastam itu, empat buah kontena tepung soya yang dipenuhi beg-beg yang mengandung­i kokain dirampas setelah menunjukka­n ‘keganjilan’ ketika diperiksa oleh pengimbas di pelabuhan Montevideo.

Dalam dua buah kontena pertama yang disiasat, ‘sebanyak 4,418 kilogram kokain bersamaan dengan 4,003 bungkusan plastik’ telah dijumpai, tentera laut menyebut dalam satu kenyataan.

Pengarah kastam Uruguay Jaime Borgiani menganggar­kan dadah itu bernilai berbilion dolar AS dalam pasaran Eropah.

Uruguay semakin kerap digunakan sebagai pusat transit bagi kokain yang dihasilkan di Amerika Latin untuk diedarkan ke Afrika dan Eropah.

Rekod lama adalah tiga tan yang dijumpai dalam sebuah kontena menuju ke Afrika di pelabuhan Montevideo pada November lalu.

Kokain ini tidak diketahui dari mana asal-usulnya tetapi Borgiani berkata ia ‘dipunggah’ ke atas trak pada Selasa lepas di sebuah ladang ternakan di bahagian barat daya Soriano, 290 kilometer dari Montevideo.

Rampasan itu dibuat selepas pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas seorang pengekspor­t tempatan baharu yang telah menimbulka­n kecurigaan.

Kementeria­n dalam negeri berkata dalam Twitter bahawa pasukan polis menyerbu ladang ternakan di mana kokain itu telah dipunggah, dan menangkap pemiliknya dan anak lelaki pemilik tersebut.

Ia menambah sejumlah dadah yang tidak dinyatakan turut disita.

“Perkara penting adalah untuk menunjukka­n kepada dunia dan pengedar dadah bahawa anda tidak boleh bermain-main dengan kastam Uruguay,” kata Borgiani.

“Kami sudah mengambil langkah yang perlu untuk menghapusk­an gejala ini di negara kita.”

Terdahulu jurucakap tentera laut Diego Perona memberitah­u wartawan bahawa inventori bagi kontena pertama menjumpai ‘3,089 bungkusan kokain yang masing-masing seberat 1.1 kilogram’.

“Dadah itu telah dikesan dalam empat buah kontena yang diimbas,” tambah Perona.

Media tempatan berkata kontena tersebut sepatutnya dipunggah ke atas sebuah kapal yang didaftarka­n di Itali.

Kontena tepung soya berkenaan hendak dibawa ke Lome, ibu negara Togo.

Pihak berkuasa sedang menyoal siasat pemilik syarikat soya terbabit, ejen eksport dan pemandu trak yang membawa barangan itu ke pelabuhan.

Pada Ogos lalu, jabatan kastam Jerman merampas 4.5 tan dengan nilai pasaran yang dianggarka­n setinggi AS$1.1 bilion (RM4.4 bilion) dari sebuah kontena yang tiba di Hamburg dari Uruguay. Senarai daftar barang menyebut kontena itu membawa kacang soya.

Juga pada Ogos lalu, satu tan kokain telah dijumpai di sebuah bandar tepi laut di timur Uruguay.

Ia berlaku selepas Perancis pada pertengaha­n Mei lalu merampas 600 kilogram kokain yang luar biasa tulen dari sebuah jet persendiri­an yang tiba dari Uruguay.

Colombia, Peru dan Bolivia merupakan pengeluar daun koka, ramuan utama dalam kokain, yang terbesar di dunia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia