Utusan Borneo (Sabah)

Bekas menteri Vietnam dipenjara seumur hidup berhubung skandal rasuah MobiFone

-

HANOI: Sebuah mahkamah di Vietnam semalam menjatuhka­n hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang bekas menteri penerangan selepas mendapati dia bersalah menerima rasuah sebanyak AS$3 juta (RM12 juta) berhubung satu perjanjian yang kontrovers­i di syarikat telekom kerajaan MobiFone.

Nguyen Bac Son menerima wang itu untuk memudahkan satu perjanjian di mana MobiFone membuat bayaran yang lebih bagi pegangan 95% dalam sebuah syarikat penyedia televisyen berbayar yang mencatatka­n kerugian, Kementeria­n Keselamata­n Awam menyebut dalam satu kenyataan.

Mahkamah turut menjatuhka­n hukuman penjara selama 14 tahun ke atas seorang lagi bekas menteri penerangan Truong Minh Tuan, yang dituduh menjalanka­n pengurusan ekonomi yang salah dan menerima rasuah dalam kes yang sama, menurut kenyataan itu.

MobiFone, sebuah daripada tiga syarikat telefon pintar terbesar di Vietnam menurut langganan, membeli pegangan dalam Audio Visual Global JSC dengan harga hampir 8.9 trilion dong (AS$383.7 juta) pada hujung 2015.

Kerajaan menanggung ‘kerugian kewangan yang serius’ disebabkan oleh transaksi itu, tambah kenyataan itu.

Kes MobiFone merupakan siasatan rasuah terbesar setakat ini dalam kempen antirasuah Vietnam yang sudah mencekup ratusan pegawai kerajaan.

Pengerusi Audio Visual Global JSC Pham Nhat Vu dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun selepas didapati bersalah memberi sogokan kepada Son, Tuan, eksekutif MobiFone dan pegawai kerajaan lain, kenyataan itu menyebut.

Mahkamah turut menjatuhka­n hukuman penjara antara dua hingga 23 tahun ke atas 11 defendan lain kerana pembabitan mereka dalam kes itu.

Reuters tidak dapat menghubung­i segera peguam mereka bagi mendapatka­n kenyataan.

Rancangan untuk menjual pegangan dalam MobiFone sudah lama disebut-sebut sebagai antara yang paling dinanti-nantikan dalam usaha Vietnam untuk menswastak­an syarikat milik kerajaan, tetapi ia tidak pernah berlaku.

Kerajaan berkata sebelum ini bahawa ia akan menjual pegangan sehingga 50% dalam MobiFone sebelum hujung tahun 2020.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia