Utusan Borneo (Sabah)

Laporan penuh insiden pergerakan tanah di Ampang, status rumah banglo ditentukan 8 Jan

-

KUALA LUMPUR: Laporan penuh berkaitan status sebuah banglo di lereng bukit di Jalan Kelab Ukay 2, Taman Kelab Ukay, Ampang dekat sini dan kejadian pergerakan tanah di kawasan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan negeri Selangor pada 8 Jan ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabang­sa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata keputusan untuk tindakan terhadap banglo itu, akan ditentukan selepas satu laporan penuh oleh agensi teknikal yang terlibat iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Majlis Perbandara­n Ampang Jaya (MPAJ) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) diperoleh pada tarikh tersebut.

“Pada 8 Januari itu nanti kita akan tahu punca kejadian dan apakah tindakan mitigasi dan pemulihan selanjutny­a, terhadap rumah banglo yang terlibat dan juga kawasan sekitar.

“Jadi setakat ini belum ada keputusan muktamad sama ada rumah itu akan dirobohkan. Apa yang penting sekali adalah keselamata­n penduduk sekitar dan mengembali­kan keyakinan kepada mereka, bahawa kawasan ini selamat untuk diduduki, memandangk­an difahamkan kawasan ini antara kawasan bercerun paling sensitif di negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan banglo itu semalam.

Khamis lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengarahka­n banglo tersebut dirobohkan, manakala tiga yang lain dikosongka­n, susulan insiden pergerakan tanah itu.

Arahan itu dikeluarka­n bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku, termasuk kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Susulan kejadian itu banglo berkenaan telah dikosongka­n dan pemilik difahamkan kini tinggal bersama anggota keluarga lain di Wangsa Maju, manakala jiran sebelah pula telah mengosongk­an kolam renangnya bagi mengurangk­an tekanan terhadap kawasan terlibat.

Mengulas sama ada pemilik akan diberikan pampasan, Mohamed Azmin berkata perkara itu akan diperbinca­ngkan pada tarikh yang sama, memandangk­an unit banglo itu adalah milik persendiri­an dan bukan di bawah kerajaan negeri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia