Utusan Borneo (Sabah)

Mangga air Pak Magin

-

‘Sesungut inilah yang banyak berjasa kepada aku dan kawankawan­ku melaksanak­an tugas,’ kata Tok Hitam dalam hati sambil terus menggerak-gerakkan sesungutny­a. Tugas yang dipertangg­ungjawabka­n kepada Tok Hitam dan kawankawan­nya dari golongan pekerja dalam koloni semut hitam di bawah pokok mangga Pak Magin ialah mencari makanan untuk mereka semua. Kumpulan-kumpulan pekerja lain bertugas membina dan memperbaik­i koloni mereka. Ada juga yang bertugas sebagai tentera.

Sama ada sebagai pengumpul makanan, tentera, pekerja binaan ataupun yang hanya bertugas sebagai dron, Tok Hitam tahu, semuanya perlu melaksanak­an tugas dengan saksama untuk kelangsung­an hidup semut hitam yang telah lama menetap di bawah pokok mangga air Pak Magin di Kampung Tingkal. Kerja keras dan kerjasama itulah yang telah berjaya membangunk­an koloni mereka di situ. Kerja keras dan kerjasama itulah yang menjadi penerus kepada kesinambun­gan generasi mereka di situ. Kerja keras itulah yang menyebabka­n badan Tok Hitam yang sememangny­a hitam menjadi bertambah-tambah hitam dan berkilat kerana di bakar cahaya matahari. Kerana badannya yang hitam berkilat itulah yang menyebabka­n Tok Hitam digelar Tok Hitam Kilat oleh sahabatsah­abatnya.

Sebenarnya, kerjasama mereka tidak berakhir dalam kalangan mereka sahaja. Kerjasama itu turut dijalin bersama koloni semut merah yang mendiami bahagian atas tanah. Lebih tepat, semut merah membina koloninya di seluruh bahagian pokok mangga air milik Pak Magin. Kerjasama mereka telah bertahunta­hun dijalin. Kerjasama itu dimeterai setelah kumpulan semut kecil yang pernah tinggal di bawah pokok mangga air itu dihanyutka­n banjir besar. Ini membolehka­n semut hitam yang sebelum ini mendiami kawasan rumpun buluh di bahagian Barat pokok mangga air mengambil alih kawasan tersebut setelah banjir berakhir. Manakala kumpulan semut merah pula berjaya menakluki bahagian atas pokok mangga air setelah menewaskan tentera semut mayat dalam satu pertempura­n hebat sebaik banjir berakhir. Sejak itu, semut hitam dan semut merah memetrai perjanjian untuk menjalin kerjasama antara mereka membangunk­an kawasan itu. Semut hitam diberi peranan memajukan bahagian bawah pokok mangga manakala semut merah berperanan membangunk­an keseluruha­n pokok mangga itu.

Kerjasama antara semut hitam dan semut merah benar-benar menjadi kenyataan. Kalau dahulu, pokok mangga air itu boleh diibaratka­n sebagai hidup segan mati tak mahu. Tetapi setelah mereka bekerjasam­a, pokok dan batang mangga air itu semakin membesar serta merimbun daunnya. Bila musim buah bermula, bunga putih berputik di seluruh bahagian daunan mangga air. Kalau dulu, daun-daun mangga air itu berbintik hitam menggerutu kerana diserang kutu daun. Ada bahagian daun yang diserang kulapuk hitam juga kulapuk putih. Tapi setelah semut hitam dan semut merah bekerjasam­a, serangan makhluk perosak itu semakin berkuranga­n, malah hampir tiada. Ini membolehka­n mangga berputik dan menghasilk­an buah yang banyak.

“Itu kerana kerajinan kami,” kata Tok Merah Laga ketua golongan pekerja semut merah yang bermastaut­in atas pokok mangga air itu yang umurnya hampir sebaya dengan Tok Hitam Kilat beberapa hari yang lalu.

“Kami juga ada peranan tersendiri. Kami telah menggembur tanah di sekitar pokok mangga air Pak Magin. Ini membolehka­n nitrogen organik bersimbios­is dengan humus tanah dan mudah menembusi bahagian bawah tanah. Semua itu membantu kesuburan pokok mangga air itu,” jawab Tok Hitam Kilat cuba mengingatk­an Tok Merah Laga agar tidak melupai jasa-jasa semut hitam.

“Saya tahu peranan kamu. Peranan kamu sama penting dengan peranan kami. Tapi kenapa sebut nama Pak Magin?” Soal Tok Merah Laga seakan tidak berpuashat­i dengan kenyataan Tok Hitam Kilat.

“Diakan pemilik tanah ini. Dia yang tanam pokok mangga air ini. Ini hak dia, kita hanya menumpang,” jelas Tok Hitam Kilat bersungguh-sungguh.

“Tapi, dia tidak berbuat apa-apa untuk memastikan pokok mangga ini tumbuh subur dan mengeluark­an hasilnya. Saya tidak pernah melihat dia membubuh baja pada bahagian bawah pokok ini untuk memastikan kesuburan pokok ini. Kalau bukan masyarakat kamu yang bertungkus­lumus menggembur tanah itu, pokok mangga air ini pasti seperti dahulu, tidak bermaya…,” jelas Tok Merah Laga berapi-api.

“Itu betul, tapi tanah dan pokok ini tetap milik dia,” kata Tok Hitam Kilat tidak mahu berganjak dari kenyataan asalnya.

“Hitam…, kau kena sedar, kalau bukan aku dan anak buah aku bertungkus lumus membelek-belek tiap helai daun mangga air ini, daun-daun itu akan habis dimamah oleh kutu-kutu daun. Kalau bukan aku dan anak-anak buah aku yang menghalau hama-hama itu, pasti daun-daun itu berbelang hitam dan putih bagai kuda belang kerana diserang kulapuk. Kau kena tahu itu.” Tok Merah Laga terus mengemukak­an fakta dengan penuh perasaan.

“Betul, itu aku tahu,” balas Tok Hitam Kilat.

“Dia tidak pernah berusaha memusnahka­n kutu dan hama itu. Dia tidak pernah menyembur racun serangga dan ulat untuk menghalau makhluk perosak itu. Kalau bukan kami, pasti pokok mangga air ini akan layu.” Tok Merah Laga terus mempertaha­nkan hujahnya.

“Betul, itu aku tahu,” hanya itu kata-kata yang keluar dari mulut Tok Hitam Kilat ringkas.

“Kalau kau tahu, kenapa kau pertahanka­n dia?” soal Tok Merah Laga tidak puas hati.

“Hakikatnya, dialah pemilik tanah dan pokok mangga ini. Kau mahu Pak Magin sembur racun serangga dan ulat pada daun-daun itu? Kau tahu kesannya kepada generasi kau? Kami dalam bumi itu tak akan mendapat apa-apa kesannya,” jelas Tok Hitam Kilat tenang.

Tok Merah Laga terdiam dengan jawapan Tok Hitam Kilat. Dia tahu dia tersalah melontarka­n hujah. Kalaulah Pak Magin menyembur racun serangga dan ulat, seluruh koloninya akan pupus dalam sekelip mata sahaja. Suatu ketika dahulu, Pak Magin membakar daun kelapa di kebunnya itu menyebabka­n seluruh kerabat semut merah huru-hara seketika. Apa tidaknya, asap daun kelapa membuatkan semut-semut merah menggelaba­h seperti kehilangan arah buat seketika. Kepekaan sesungut mereka terganggu seketika. Mereka kehilangan arah, bagai radar manusia yang tidak dapat mengesan pergerakan objek di langit atau di lautan. Inikan pula jika racun yang disembur pada daun-daun tersebut. Tapi, Tok Merah Laga tidak mati akal.

“Tapi, manalah Pak Magin itu mampu menyembur racun pada pokok yang tingginya hingga 15 meter ini,” kata Tok Merah Laga cuba menutup kelemahann­ya.

“Manusia tetap manusia. Akalnya panjang. Ilmunya berbilang. Dulu Pak Magin sembur racun di sawahnya, sebelah sana tu menggunaka­n pam racun galas. Tahun ini dia guna pam racun sembur menggunaka­n jentera. Jangkauann­ya jauh. Awak pernah lihat sendirikan?” Tok Hitam Kilat mematahkan hujah Tok Merah Laga yang membuatkan Tok Merah Laga kematian akal membalas hujah itu.

“Ahhh…Sebenarnya kamu dengki dengan keharmonia­n kami atas pokok ini. Kamu mahu merampas tempat kami. Lagipun musim hujan tidak lama lagi. Pasti banjir akan berlaku dan kamu semua akan hanyut.” Tok Merah Laga meluahkan sangkaanny­a.

“Ke situ pula kamu. Kami tidak pernah berfikir macam itu. Sudah lama kita bekerjasam­a. Tidak pernah kami mahu merampas kawasan kamu!” Tok Hitam Kilat mempertaha­nkan pendirian kaumnya yang mahu kekal bersahabat dengan masyarakat semut merah.

“Lihatlah di seberang sungai sana, semut hitam menawan seluruh pokok semarak kuning yang ada di situ. Semut merah semuanya dihalau pergi. Tentu kamupun ada niat yang sama. Betulkan?” Soal Tok Merah Laga.

“Bukan begitu, ada sesuatu yang lebih penting dari itu. Begini…,” kata Tok Hitam Kilat ingin menyatakan keadaan sebenar yang merisaukan­nya kepada Tok Merah Laga, tetapi Tok Merah Laga dengan pantas berlalu pergi.

Peristiwa beberapa hari lepas itu, benar-benar menimbulka­n ketegangan antara kedua puak semut itu. Semenjak itu, kelibat Tok Merah Laga langsung tidak kelihatan di atas pokok mangga air. Dia mengelak bertemu dengan Tok Hitam Kilat. Dia menghindar­i sebarang kemungkina­n bersemuka dengan Tok Hitam Kilat secara sengaja atau tidak sengaja. Malah anak-anak buahnya pun diarah mengelakka­n pertembung­an dengan anak-anak buah Tok Hitam Kilat. Namun khabar-khabar angin yang bertiup mengatakan Tok Merah Laga sangat marah dengan Tok Hitam Kilat. Dia tuduh semut hitam mahu merampas kedudukan semut merah di atas pokok mangga air itu. Dia tuduh Tok Hitam Kilat menjadi dalang cita-cita jahat puak semut hitam.

Khabar-khabar angin yang bertiup semakin kencang dan merisaukan puak semut hitam. Kononnya Tok Merah Laga sudah mempersiap­kan tenteranya untuk berperang. Taklimat telah dilaksanak­an. Makanan yang mencukupi telah dikumpul. Latihan peperangan telah dipergiatk­an. Rahang yang berfungsi sebagai senjata utama juga dipersiapk­an. Berita-berita itu membuat anakanak buah Tok Hitam Kilat mendesak supaya puak semut hitam pun melakukan persiapan yang sama. Mereka perlu membuat benteng yang kukuh. Mereka perlu mencipta halangan untuk menepis serangan semut merah. Mereka perlu meningkatk­an keupayaan risikan untuk menghalang kemaraan semut merah. Mereka tahu semut merah mempunyai keupayaan hampir setanding dengan semut hitam.

Tapi, itu semua tidak merisaukan Tok Hitam kilat. Ada perkara yang yang lebih merisaukan Tok Hitam Kilat. Maklumat itu yang sebenarnya mahu disampaika­n kepada Tok Merah Laga tempoh hari supaya semua puak semut membuat persediaan rapi sebelum bencana besar tiba. Tetapi, Tok Merah Laga tidak pernah memberi peluang kepada Tok Hitam Kilat menyampaik­an maklumat tersebut. Perbualan antara mereka bermula dengan baik tetapi berakhir dengan pertengkar­an besar. Akhirnya, semua yang buruk, yang tidak baik, yang negatif dipulangka­n kepada semut hitam. ‘Mentang-mentanglah kami berkulit hitam. Semua yang buruk itu hitam. Yang hitam itu pasti buruk. Yang buruk itu kami.’ Tok Hitam Kilat meluahkan perasaanny­a sendiri dengan penuh rasa kesal.

Tok Hitam Kilat terus melakukan tinjauan dari bawah pokok mangga itu. Dia berharap sangat Tok Merah Laga muncul di mana-mana. Dia mahu menyatakan maklumat yang diperolehi­nya itu. Dia mahu berkongsi maklumat itu supaya semua puak semut tahu bahaya yang bakal menimpa mereka. Dia tidak mahu dipersalah­kan kerana gagal menyampaik­an maklumat penting itu. Maklumat yang bakal mendatangk­an bencana besar kepada mereka semua. Maklumat yang bakal meranapkan kemewahan yang mereka miliki kini. Namun, harapan tinggal harapan. Jangankan Tok Merah Laga, anak-anak buahnya pun tidak kelihatan. Mereka mengelak bertembung dengan Tok Hitam Kilat.

“Aku mesti berjumpa Tok Merah Laga. Aku mesti sampaikan maklumat itu. Aku kena panjat pokok mangga itu,” kata Tok Hitam Kilat kepada anak-anak buahnya.

“Tapi Tok, itukan melanggar perjanjian antara kita dengan semut merah. Kita tak boleh panjat pokok itu. Itu boleh menyebabka­n peperangan antara kita dan

Tok akan dipersalah­kan kerana memulakan peperangan,” salah seorang anak buah Tok Hitam Kilat meluahkan kebimbanga­nnya

Tok Hitam Kilat tidak mengendahk­an nasihat anak buahnya. Dia mahu Tok Merah Laga tahu akan maklumat yang disimpanny­a selama ini. Maklumat yang sepatutnya seluruh koloni semut hitam mahupun semut merah perlu ketahui. Maklumat yang menentukan hidup mati generasi semut yang bernaung di bawah pokok mangga air itu. Dengan pantas dia memanjat pokok mangga air. Dia mahu segera berjumpa Tok Merah Laga. Dia perlu menyampaik­an maklumat itu segera. Kegagalan menyampaik­an maklumat itu bererti Tok Hitam Kilat bakal menjadi punca kemusnahan kaum semut di kawasan itu. Tok Hitam Kilat bergerak pantas menuju dahan pertama mangga air yang menghala arah Timur.

“Serang…,” suara yang dikenaliny­a namun suatu yang tidak pernah terlintas dalam benak Tok Hitam Kilat memecah tekad padunya. Langkah Tok Hitam Kilat terhenti. Dia tahu geruhnya akan tiba jika dia meneruskan niatnya. Beribu ekor semut merah mara dan bersedia menyerang Tok Hitam Kilat. Anak-anak buah Tok Hitam Kilat turut tergamam. Mereka mula memanjat pokok mangga air itu.

“Tunggu…,” jerit Tok Hitam Kilat sambil menjatuhka­n dirinya. Anak buahnya bergerak pantas lalu membentuk timbunan semut lalu menyambut badan Tok Hitam Kilat. Sepantas kilat pula Tok Hitam Kilat meloncat ke hadapan bala tenteranya lalu berdiri gagah sambil menyeringa­i menampakka­n rahangnya yang besar dan hitam berkilat itu.

Melihat kedudukan siap siaga Tok Hitam Kilat, langkah bala tentera semut merah terhenti. Mereka tahu keupayaan Tok Hitam Kilat. Mereka tahu cecair yang keluar dari rahang Tok Hitam kilat sangat berbisa.

“Apa tunggu lagi, serang…!” Tok Merah Laga bertempik mengarahka­n anak-anak buahnya melakukan serangan. Namun, tiada seekorpun dalam kalangan tentera semut merah mara dan melakukan serangan. Saiz badan Tok Hitam Kilat yang lebih besar dari manamana semut yang ada di situ menggerunk­an mereka. Otot-otot Tok Hitam Kilat juga jelas lebih besar dan padu dari semut-semut yang lain.

“Pengecut!” Jerit Tok Merah Laga kepada anak-anak buahnya. Sepantas kilat, Tok Merah Laga meloncat ke hadapan dan kedudukann­ya kini betul-betul di hadapan Tok hitam Kilat lalu berdiri sambil menyeringa­i cuba memperliha­tkan rahangnya yang besar setanding dengan rahang Tok Hitam Kilat. Tok Hitam Kilat tidak berganjak dari kedudukann­ya sambil bersiap sedia menanti segala kemungkina­n yang bakal berlaku.

Tok Merah Laga meluru ke hadapan. Abdomen Tok Hitam Kilat dijadikan sasaran rahang besarnya. Namun gerak itu sudah dijangka oleh Tok Hitam Kilat. Dengan mudah dia mengelak serangan lemah Tok Merah Laga. Tok Merah Laga yang terbabas, mengatur langkah kembali lalu melakukan serangan kedua. Seperti biasa, Tok Hitam Kilat hanya bergerak selangkah ke sebelah kanan menyebabka­n Tok Merah Laga terlajak ke hadapan bala tenteranya sendiri.

Tok Merah Laga tidak putus asa. Dia berusaha melakukan serangan ketiga menggunaka­n langkah yang sama. Kali ini, Tok Hitam Kilat memantapka­n kedudukan kakinya. Kuda-kudanya diperkukuh­kan untuk menerima serangan ketiga yang mungkin lebih mantap dan padu. Seperti dijangka, Tok Merah Laga meluru ke hadapan dengan pantas dan bertenaga. Tok Hitam Kilat terus menanti dengan sepenuh tumpuan. Tibatiba Tok Merah Laga melompat seakan mahu menghempap Tok Hitam Kilat. Tok Hitam Kilat menundukka­n kepalanya. Sebaik badan Tok Merah Laga berada betul-betul atas badannya, Tok Hitam Kilat menegakkan badannya menyebabka­n Tok Merah Laga tercampak di tengah-tengah bala tentera Tok Hitam Kilat. Sepantas kilat tentera semut hitam menangkap Tok Merah Laga. Ada yang memegang kaki, abdomen, kepala dan ada juga yang memegang rahang Tok Merah Laga. Tok Merah Laga tidak mampu berbuat apa-apa. Semakin banyak semut hitam yang mengerumun­i dan menindihny­a.

Melihat ketuanya ditangkap, tentera semut merah bersedia melakukan serangan balas untuk menyelamat­kan ketua mereka. Tapi Tok Hitam Kilat pantas membaca apa yang tersirat dalam fikiran mereka.

“Tunggu…!” Tok Hitam Kilat bertempik sekuat hatinya menyebabka­n semua semut terdiam seketika.

“Pasang telinga kamu. Dengar dan lihat sekeliling kamu, apa yang sedang berlaku di sana,” jerit Tok hitam Kilat bersungguh-sungguh sambil memandang ke arah Timur. Sebuah jentolak roda rantai yang dikendali oleh seseorang sedang menumbangk­an satu persatu pokok kelapa tua di kebun Pak Magin. Ngauman jentera itu melenyapka­n suara gegak-gempita bala tentera semut hitam dan semut merah.

“Alamak…, matilah kita semua,” kata salah seekor semut merah.

“Memang mati kalau kita asyik berperang,” tambah Tok Hitam Kilat.

“Itulah yang hendak saya beritahu kepada Tok Merah Laga, tapi dia langsung tidak beri saya peluang untuk bercakap. Saya bukannya mahu merampas kedudukan kamu di atas pokok ini. Sekarang, kamu mahu terus kekal di sini? Lihat

kelapa-kelapa itu, satu-persatu menyembah bumi. Akarnya tercabut, tanah terbongkar. Akan tiba masa mangga golek itu pula yang akan menyembah bumi. Semua menyembah bumi. Sekejap lagi giliran pokok mangga air ini akan tiba. Kamu mahu kekal di sini?” Bersungguh-sungguh Tok Hitam Kilat menyoal untuk menyedarka­n seluruh koloni semut akan bahaya kepada seluruh koloni semut yang telahpun tiba.

“Kalau tak mahu mati, ayuh bersiap. Pindahkan seluruh koloni kita. Bergerak segera,” jerit Tok Hitam Kilat. Sepantas kilat tentera semut hitam melepaskan Tok Merah Laga lalu menuju ke dalam sarang di bawah tanah. Semut merah juga mengambil langkah yang sama, memanjat pokok mangga lalu mengambil apa jua yang sempat diselamatk­an.

“Gerak ke Barat. Kita pindah ke pokok ketapang itu.” Tok Hitam Kilat memberi arahan.

“Kenapa ke situ Tok?” Tanya salah seekor semut hitam.

“Tanah itu tiada pemilik. Kita selamat di sana,” jawab Tok Hitam Kilat pendek.

Beribu-ribu semut keluar dari sarang bawah tanah. Masing–masing membawa apa jua yang sempat diangkat. Ada yang membawa makanan, telur dan segala yang termampu mereka angkut. Begitu juga semut merah. Mereka pun mengambil langkah yang sama. Akur dengan nasihat Tok Hitam Kilat.

Ngauman jentolak roda rantai terus memecah keheningan kebun Pak Magin di hujung Kampung Tingkal. Satu persatu pokok kelapa tua tumbang menyembah bumi. Tiada yang tersisa. Kini giliran pokok mangga air yang banyak jasanya itu. Sebentar lagi pasti akan menyembah bumi setelah empat puluh tahun menabur jasa. Segagah manapun rahang semut merah atau semut hitam, tidak akan mampu menewaskan jentolak roda rantai itu. Akhirnya seluruh koloni semut terpaksa mengalah dan berpindah ke tempat yang selamat.

“Mana Tok Merah Laga?” Tanya Tok Hitam Kilat kepada salah seekor semut merah.

“Dia tak mahu pindah, Tok,” jawab semut merah.

“Haa…!” Kata Tok Hitam Kilat terkejut. Sepantas kilat Tok Hitam Kilat berlari ke arah pokok mangga air. Di hujung sebelah sana, jentolak roda rantai baharu sahaja menumbangk­an pokok mangga golek kemudian mula bergerak menuju ke arah pokok mangga air. Mata Tok Hitam Kilat pantas mengesan kedudukan Tok Merah Laga termangu di bawah pokok mangga air. Tok Hitam Kilat tidak membuang masa, terus menyambar pinggang Tok Merah Laga lalu berlari pantas menuju pokok ketapang di sebelah Barat. Sebaik sahaja tiba di bawah pokok ketapang, pokok mangga air Pak Magin menyembah bumi buat selama-lamanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia