Utusan Borneo (Sabah)

Jadikan insiden kanak-kanak tercampak keluar dari kereta pengajaran: Loke

-

PELABUHAN KLANG: Insiden seorang anak kecil tercampak keluar daripada kereta dipandu bapanya di Lebuhraya Utara Selatan berhampira­n Senawang, Negeri Sembilan pada Isnin lalu sepatutnya dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamata­n kanak-kanak (CRS).

Menteri Pengangkut­an Anthony Loke Siew Fook berkata penggunaan CRS dengan betul dapat memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat sepanjang pemanduan dan tidak tercampak keluar daripada kereta sekiranya berlaku kemalangan.

“Dalam insiden itu, kanakkanak berkenaan bernasib baik kerana kereta di belakangny­a sempat berhenti. Bayangkan jika (kereta) tidak sempat berhenti, tidakkah mereka (ibu bapa kanakkanak itu) akan berasa kesal sepanjang hayat?

“Saya harap insiden ini akan beri pengajaran kepada semua mengenai kepentinga­n penggunaan CRS,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai insiden berkenaan semalam.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja ke Terminal Boustead Cruise Center dan tapak pameran Pemeriksaa­n Awam Projek ECRL di Lembaga Pelabuhan Klang di sini.

Tambah Loke, walaupun kementeria­nnya sentiasa memberi penekanan terhadap penggunaan CRS, namun ia tidak bermakna pihaknya tidak melihat perkara lain yang boleh menjadi punca kemalangan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kemalangan biasanya membabitka­n pelbagai faktor. Warganet mempersoal­kan mengapa saya hanya bercakap mengenai kerusi keselamata­n kanak-kanak sedangkan kita juga akan memperketa­tkan undang-undang membabitka­n pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah,” katanya.

Ditanya mengenai perkembang­an cadangan kementeria­nnya untuk meminda Akta Pengangkut­an Jalan 1987 berkaitan hukuman terhadap pemandu mabuk yang menyebabka­n kemalangan maut, beliau berkata pihaknya sedang menunggu draf pindaan berkenaan daripada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, draf berkenaan akan terlebih dahulu dibawa ke mesyuarat kabinet sebelum dibaca untuk kali pertama.

“Selepas bacaan kali pertama, kementeria­n akan umumkan mengenainy­a. Bagaimanap­un, saya tidak boleh beritahu bila tarikh bacaan pertama ini akan dibuat kerana ia melibatkan proses tertentu.

“Namun, apa yang ingin saya tegaskan adalah pindaan ini akan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah jika mereka terlibat dalam kes yang menyebabka­n kemalangan maut,” katanya.

Kebelakang­an ini, masyarakat mendesak kerajaan meminda akta sedia ada dan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk sehingga mengakibat­kan berlakunya kemalangan maut.

Sebelum ini, Loke dilaporkan berkata Kabinet bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah serta memandu secara berbahaya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia