Utusan Borneo (Sabah)

China turunkan pangkat pengarah Pejabat Hal Ehwal Hong Kong-Macau

-

BEIJING: China telah menurunkan pangkat pengarah Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau, kata Majlis Negara semalam, ekoran protes prodemokra­si selama berbulan-bulan di bandar raya separa autonomi itu.

Sebaliknya Zhang Xiaoming dilantik semula untuk menjadi timbalan pengarah yang bertanggun­gjawab bagi operasi harian di pejabat tersebut, dan beliau akan digantikan oleh pegawai kanan Beijing Xia Baolong sebagai pengarah.

Rombakan pegawai dibuat selepas pergolakan politik selama berbulan-bulan di Hong Kong, seterusnya memberikan cabaran paling ketara kepada Beijing sejak bekas jajahan Britain itu dikembalik­an kepada pemerintah­an China pada 1997.

Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau peringkat kabinet merupakan badan dasar tertinggi di China mengenai hal ehwal Hong Kong.

Pengarah baharu, Xia, merupakan seorang pegawai kanan yang memegang jawatan setiausaha agung dalam jawatankua­sa kebangsaan badan penasihat politik tertinggi China. Majlis Negara berkata dua pegawai lain akan memegang jawatan timbalan pengarah di Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau.

Luo Huining, ketua pejabat perhubunga­n awam Beijing di Hong Kong, dan Fu Ziying, yang mengetuai pejabat perhubunga­n awam Macau, juga akan diberi jawatan timbalan pengarah dan pada waktu yang sama mengekalka­n jawatan mereka sekarang.

Di Hong Kong, jutaan manusia telah menunjuk perasaan di jalanan sejak Jun tahun lepas, pada asalnya untuk menentang cadangan yang kini sudah dibatalkan untuk membenarka­n ekstradisi ke tanah besar China.

Pergerakan itu kemudian bertukar menjadi tuntutan bagi kebebasan demokratik yang lebih luas dan akauntabil­iti polis.

Sejak beberapa hari lalu, para pemimpin Hong Kong juga berdepan dengan kritikan berhubung kekurangan penutup mulut dan hidung serta sumber yang muncul ketika mereka menangani wabak virus yang bermula dari tanah besar. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia