Utusan Borneo (Sabah)

Empangan melimpah tatkala Australia bersiap sedia untuk banjir kilat

-

SYDNEY: Empangan dekat Sydney melimpah semalam selepas hujan lebat turun selama beberapa hari, manakala Australia bersiap sedia untuk mengalami taufan lagi yang dijangka membawa banjir kilat yang berbahaya ke bahagian timur negara.

Hujan lebat baru-baru ini membawa kelegaan ke kawasan yang sebelum ini dimusnahka­n oleh kebakaran belukar dan kemarau – selain huru-hara dan kemusnahan ke bandar dan kota raya di sepanjang pantai timur.

Semalam Empangan Nepean ke selatan Sydney berada pada kapasiti sepenuhnya dan melimpah, dan rakaman video menunjukka­n lebihan air melata di atas tembok empangan dan mengalir ke hilir.

Dua empangan lain di New South Wales, Tallowa dan Brogo, turut melimpah dan lebih banyak empangan mungkin akan mencapai kapasiti dalam masa beberapa hari akan datang, kata jurucakap WaterNSW kepada AFP.

Empangan di Sydney telah menyaksika­n paras air meningkat secara dramatik – Empangan Nepean penuh satu pertiga tidak sampai seminggu lalu – tetapi banyak kawasan pedalaman yang mengalami kekurangan air terlepas daripada aliran air tersebut.

Krisis kebakaran belukar selama berbulan-bulan yang mengorbank­an 33 orang sudah ditamatkan oleh hujan lebat, dengan hanya satu kebakaran sahaja yang belum dapat dikawal di New South Wales.

Ratusan orang telah diselamatk­an dari air banjir sejak beberapa hari lalu.

Polis berkata mayat seorang lelaki telah dijumpai dalam sebatang sungai yang melimpahi tebingan di Sunshine Coast, Queensland, semalam, tetapi punca kematian tidak segera jelas.

Cuaca buruk dijangka meningkat lagi bermula hari ini (Jumaat), dan Biro Meteorolog­i meramalkan bekas Siklon Tropika Uesi akan membawa “ribut yang menyebabka­n kerosakan dan kemusnahan” selain hujan lebat ke destinasi pelanconga­n terpencil Lord Howe Island.

Pakar meteorolog­i kanan Grace Legge berkata taufan juga dijangkaka­n di Queensland dan New South Wales – dengan beberapa kawasan yang masih belum pulih daripada kebakaran belukar dijangka akan dibadai lagi.

“Sebarang hujan dan ribut petir yang berlaku jatuh di kawasan tadahan air yang sudah pun tepu, jadi terdapat risiko dengan ribut petir teruk yang menyebabka­n banjir kilat,” katanya.

Badan kecemasan telah memberi amaran kepada penduduk di kawasan terjejas untuk berhati-hati dalam keadaan berbahaya itu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia