Utusan Borneo (Sabah)

Polis Kuala Lumpur tahan 158 pemandu mabuk Januari lalu

-

KUALA LUMPUR: Seramai 158 individu telah ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol di ibu negara sepanjang bulan Januari, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) ACP Zulkefly Yahya.

Beliau berkata daripada 158 individu yang ditahan, 118 kes telah dituduh dan 40 kes masih dalam siasatan pihak polis.

“Trend pemandu mabuk di ibu negara selalunya berlaku selepas tengah malam dan rekod kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di ibu negara, tahun lepas cuma satu kes, dan tiga kes pada 2018.

“Unit penguatkua­saan JSPT KL telah ditugaskan untuk menangani masalah pemandu mabuk ini, dan kami bertugas 24 jam sehari, serta menjalanka­n Operasi Mabuk bagi menangani masalah ini...tiada hari tanpa operasi,” katanya kepada Bernama dalam tembual khas di Balai Polis Trafik di sini, baru-baru ini.

Zulkefly berkata, pada 2019 seramai 828 individu telah ditahan atas kesalahan sama, manakala 735 individu telah ditahan pada 2018.

Jelasnya, berdasarka­n Seksyen 45G (1) Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987, had kandungan alkohol yang ditetapkan untuk pemandu adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah; atau 107 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing.

Ditanya mengenai cadangan kerajaan meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya, Zulkefly berkata perkara itu disambut baik pihaknya.

Beliau berkata, pada masa ini, pemandu cuai yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabka­n kecederaan atau kematian, adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkut­an Jalan 1987, dan boleh didakwa mengikut Seksyen 44 yang membawa hukuman penjara antara tiga dan 10 tahun dan denda antara RM8,000 dan RM20,000.

“Kami menyambut baik cadangan ini dan percaya kerajaan mempunyai pelan mereka dalam meminda undang-undang berkaitan, supaya ia bersesuaia­n dengan keadaan semasa,” katanya.

Pada 29 Jan lepas, kerajaan bersetuju untuk meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat, terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah; serta pemandu yang memandu secara berbahaya hingga mengakibat­kan maut.

Menteri Pengangkut­an Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata tiga seksyen di bawah Akta Pengangkut­an Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula, bagi memperketa­tkan undang-undang sedia ada, dengan hukuman yang lebih berat.

Loke berkata kementeria­nnya akan memulakan perbincang­an dengan pihak berkepenti­ngan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan agensi berkaitan untuk membolehka­n pindaan itu dibawa ke parlimen seawal Julai.

Dalam pada itu, Zulkefly mencadangk­an pemilik pusat hiburan di ibu negara untuk menyediaka­n ‘Screening Device II’ (SDII), iaitu satu alat yang membolehka­n pengunjung mengetahui tahap alkohol pada badan mereka, dalam usaha mengurangk­an kes melibatkan pemandu mabuk.

Beliau berkata menerusi alat tersebut, pengunjung akan mengetahui sama ada tahap alkohol pada badan masih berada di tahap dibenarkan untuk memandu, atau sebaliknya.

“Sekiranya tahap alkohol pengunjung melebihi tahap dibenarkan, pemilik premis boleh mengambil insiatif menasihatk­an pengunjung untuk tidak memandu,” tambah beliau.

Zulkefly berkata, penggunaan alat SDII sudah diguna pakai di luar negara, dan tiba masanya premis hiburan di negara ini mengamalka­n perkara sama, sebagai langkah pencegahan dan keselamata­n. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia