Utusan Borneo (Sabah)

SUA lapor polis terhadap empat pemilik akaun Facebook

-

SEREMBAN: Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan Faiz Abdullah semalam membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook, berhubung tuduhan fitnah dan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban jam 9.42 pagi semalam, terhadap pemilik akaun berkenaan iaitu Tentera Semut, Sayap Kanan, Saadon Abd Salam dan Norshafina­z Nor Azman.

Faiz berkata laporan itu bagi menggesa polis dan Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM), melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun terbabit yang mengeluark­an kenyataan melampau, terhadap pemimpin utama negeri ini berkenaan isu solat Subuh.

“Saya mewakili Menteri Besar membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook berkenaan, yang didapati memuat naik status berunsur fitnah yang saya sifatkan sebagai tuduhan melampau.

“Saya pernah membuat laporan polis atas fitnah sama yang dilemparka­n terhadap Menteri Besar pada 8 Feb tahun lalu. Tapi nampaknya selepas setahun, ia ditimbulka­n semula oleh pihak lain sedangkan pada kali pertama, Menteri Besar sudah pun memaafkan perbuatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya kesal apabila fitnah terhadap pemimpin utama negeri itu, semakin menjadi-jadi sekali gus menimbulka­n persepsi negatif.

Beliau berkata pihaknya tidak pasti apa motif pihak terbabit yang nyata tidak takut dengan undang-undang, kerana sewenangwe­nangnya menabur fitnah.

“Bagi saya tuduhan yang dilemparka­n terlalu berat. Misalnya Facebook Tentera Semut yang kata Menteri Besar gadai maruah agama dengan nilai yang sikit, kerana ceritakan solat Subuh jam 7.30 pagi dan beritahu 50 peratus umat Islam negeri ini tak solat lima waktu.

“Pemilik akaun Saadon Abd Salam yang memberi komen atas kenyataan Tentera Semut itu pula kata mungkin Menteri Besar penganut agama majusi kerana jam 7.30 pagi, penganut agama itu menyembah matahari,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia