Utusan Borneo (Sabah)

Warga Eropah pertama maut akibat COVID-19

Mangsa ialah seorang lelaki Itali berusia 78 tahun

-

ROM: Warga Eropah pertama yang dijangkiti COVID-19 meninggal dunia di Itali, hanya beberapa jam selepas 10 pekan ditutup berikutan kekecohan berhubung beberapa kes baharu.

Seorang rakyat Itali berusia 78 tahun dari wilayah Veneto yang diuji positif bagi virus itu meninggal dunia di hospital, di mana beliau sembuh kira-kira 10 hari sebelum itu daripada isu kesihatan yang tidak berkaitan, kata menteri kesihatan Itali.

Adriano Trevisan adalah seorang penurap bata bersara dan salah seorang daripada dua orang yang menghidap penyakit itu di wilayah tersebut, sementara 15 lagi didapati dijangkiti virus itu di Lombardy, yang mengambil langkah segera bagi mengasingk­an kawasan yang terjejas.

Lima doktor dan 10 orang lagi didapati positif bagi virus itu di Lombardy, selepas dikatakan sering pergi ke bar yang sama dan dengan sekumpulan teman, dan dua kes lain di Veneto, kata pihak berkuasa pada satu sidang media.

Lebih 50,000 orang dinasihatk­an tidak meninggalk­an rumah di kawasan terbabit, sementara semua aktiviti umum seperti sambutan karnival, misa gereja dan acara sukan sudah dihentikan selama lebih seminggu.

Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte berkata “semua berada dalam kawalan”, dan menegaskan pihak kerajaan sedang mengekalka­n “tahap yang sangat tinggi bagi langkah berjaga-jaga”.

Sejak Disember, virus yang menyerupai Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) itu sudah mengorbank­an lebih 2,200 orang di China, pusat utama wabak.

Di tempat lain di dunia, ia membunuh lebih 12 orang dan merebak di sekitar kira-kira 27 negara dan wilayah. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia