Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki Iraq didakwa dengan genosid dalam kes kematian ‘hamba’ Yazidi

-

BERLIN: Seorang rakyat Iraq yang disyaki sebagai anggota kumpulan pelampau Daesh (IS) akan berdepan pertuduhan bagi pembunuhan dan genosid, kata pendakwa raya umum Jerman kelmarin, dituduh terutama kerana membiarkan seorang budak perempuan “hamba” berusia lima tahun meninggal dunia akibat dahaga.

Taha A.-J. ialah suami kepada Jennifer W., seorang wanita yang dibicaraka­n di Munich sejak tahun lepas bagi tuduhan bahawa kedua-dua mereka melayan dengan buruk seorang ibu dan anak perempuan Yazidi, sebelum membiarkan budak perempuan itu meninggal dunia.

Kes terhadap pasangan itu digambarka­n oleh media dan peguam sebagai kali pertama di seluruh dunia di mana seorang anggota IS dibicaraka­n bagi jenayah terhadap Yazidi, puak agama minoriti yang berdepan dengan penindasan kejam di tangan pelampau sejak tahun 2014.

Pendakwa raya berkata A.-J., yang menyertai IS pada 2013, membeli budak Yazidi dan ibunya sebagai “hamba” di rumah dan menjadikan mereka sebagai tahanan ketika tinggal bersama dengan Jennifer W. di Mosul, Iraq yang ditawan oleh IS, pada 2015.

Tindakan mereka bertujuan untuk “memusnahka­n puak Yazidi, agama dan budaya mereka dalam mengekalka­n matlamat IS,” menurut kenyataan pendakwa raya.

Pasangan itu dikatakan memaksa ibu dan anak perempuan tersebut memeluk agama Islam, membiarkan mereka kelaparan dan tanpa air minuman serta menghukum mereka dengan cara memukul.

A.-J. merantai budak perempuan berusia lima tahun itu pada sebuah tingkap di luar rumah dalam keadaan panas yang mencecah sehingga 50 darjah Celsius (122 Fahrenheit), menyebabka­n dia meninggal dunia akibat dahaga.

“Tertuduh menyangka bahawa budak itu akan mati dan menganggap remeh keadaan tersebut,” kata pendakwa raya.

Ditangkap di Greece pada Mei 2019 dan berada dalam tahanan di Jerman sejak Oktober, A.-J. turut didakwa dengan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaa­n dan penyeludup­an manusia untuk tujuan eksploitas­i buruh.

Jennifer W. dibicaraka­n di Munich sejak April.

Direkrut oleh IS pada pertengaha­n 2015, dia kemudian ditangkap di Turki dan diekstradi­si ke Jerman, namun tidak disabitkan.

Dia ditangkap semula pada Jun 2018 selepas menyebut tentang kematian kanakkanak Yazidi kepada seorang pemberi maklumat polis yang menyamar, yang dia percayai akan membantu dia kembali ke wilayah IS.

Peguam terkenal hak asasi manusia yang berpusat di London, Amal Clooney adalah sebahagian daripada pasukan yang mewakili ibu kepada budak perempuan Yazidi yang mati, yang juga seorang plaintif bersama dalam kes itu.

Clooney, isteri kepada bintang Hollywood George Clooney, terlibat dalam satu kempen dengan pemenang Anugerah Kedamaian Nobel Nadia Murad, seorang bekas hamba seks IS, untuk menjadikan jenayah IS terhadap puak minoriti Yazidi dikenali sebagai genosid. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia