Utusan Borneo (Sabah)

DHUYUFURRA­HMAN

- KARYA: Raja Abdul Rahman Raja Basok

PESAWAT Flynas B747 nombor pesawat XY5645 membawa 490 jemaah musim haji 1439H/2018M kumpulan ketiga berlepas dari Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.15 malam dijangka akan tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Madinah, Arab Saudi pada pukul 4.35 pagi esok waktu Malaysia.

Syukur Alhamdulil­lah, aku dan isteriku terpilih menjadi Dhuyufurra­hman. Musim ini merupakan kemudahan pertama kali diperkenal­kan di dunia oleh pengurusan Tabung Haji. Aku tidak perlu menunggu terlalu lama untuk proses cop visa, cap jari melalui imbasan, urusan kastam dan rekod kesihatan yang mana sistem haji di Jeddah dapat mengakses dan mengesahka­n maklumat peribadiku.

Semua Dhuyufurra­hman akan menjalani proses imbasan sepuluh jari dan pengambila­n gambar muka yang dikendalik­an oleh wakil Kementeria­n Luar Arab Saudi di semua stesen berlepas di KLIA. Sebaik tiba di Terminal Haji Arab Saudi, aku akan melalui kaunter fast track dan terus menaiki bas ke tempat penginapan. Aku tidak perlu mengambil bagasi kerana semua bagasi akan diimbas oleh Kastam Arab Saudi dan terus dihantar ke tempat penginapan Dhuyufurra­hman. Sungguh efektif dan efisien pengurusan Tabung Haji.

Di Madinah, aku menginap di Hotel Silver Hayah al-Salam, tingkat lapan bilik bernombor 807. Berkongsi bilik seramai empat orang berasal dari Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Johor. Sesampai sahaja di bilik, azan Subuh berkumanda­ng dari Masjid Nabawi yang terletak kirakira 650 meter dari hotel. Setelah berkemas aku bergegas ke masjid untuk solat Subuh.

Pertama kali memasuki Masjid Nabawi hatiku menjadi hiba. Tak semena-mena air mataku tertumpah. Kutahan rasa mencurah juga. Aku menjauhkan diri duduk di sisi deretan balang air zam-zam sambil menekup muka. Air mataku mencurah lagi sehinggaka­n aku dipeluk oleh seorang jemaah memberi isyarat untuk solat Subuh.

Syahdunya bila aku berada dalam masjid kekasih-Mu. Ya Allah, syukur atas nikmat rezeki Kau kurnia membolehka­n aku sampai ke sini. Syukur atas gerak hati yang Kau tiupkan untuk aku tekadkan hati menziarahi tanah Haramain-Mu. Pertama kali melihat Masjid Nabawi di hadapan mata sangat meruntun jiwa.

Hati terlonjak gembira berbaur sayu, sebak tak terkata sebaik masuk ke Jannatul Raudah untuk menunaikan solat dan berdoa.

Selesai berdoa, secara perlahan aku bergerak ke makam Rasulullah SAW menyampaik­an salam kepada Baginda diikuti Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Umar al-Khatab RA. Perasaan digamit sayu terus mencengkam diri sebaik menziarahi penghuni Baqi’ menempatka­n para sahabat, kaum keluarga dan muslimin muslimat Madinah yang hidup sezaman dengan Rasulullah SAW pada awal kebangkita­n Islam.

Ketika ini di sekitar Kota Madinah dan Masjid Nabawi masih lenggang. Setiap hari pukul satu pagi aku sudah beriktikaf di masjid untuk merebut ganjaran seribu pahala. Aku gunakan setiap masa emas sebagai Dhuyufurra­hman dan dapat masuk ke Jannatul Raudah sebanyak tujuh kali, ke makam Rasulullah SAW lapan kali dan Jannatul Baqi’ dua kali.

Masuk hari kelima, Dhuyufurra­hman semakin ramai berada di Kota Madinah dan Masjid Nabawi. Tiang bernombor 426 tempat aku selalu beriktikaf sentiasa dipenuhi Dhuyufurra­hman hinggakan hendak ke Jannatul Raudah dan makam Rasulullah SAW mengambil masa empat puluh lima minit hingga satu jam setengah berbeza sebelum ini hanya sepuluh minit.

Aku mengajak isteriku melawat lokasi-lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Kota Madinah. Sebagai Dhuyufurra­hman akan kuguna berbaki tiga hari ini beriktikaf di Masjid Ijabah, Masjid al-Jumu’ah, Majid Quba di mana iktikaf di masjid ini ganjaran pahalanya seperti menunaikan umrah dan juga Masjid Qiblatain. Aku ingin melihat tinggalan perang Uhud di Jabal Uhud merakamkan gugurnya tujuh puluh orang Syuhada dan memberi salam serta berdoa di makam Syuhada Uhud. Berdekatan dengan Masjid Nabawi aku akan beriktikaf di Masjid alJum’ah, Masjid Saidina Abu Bakar, Masjid Saidina Umar al-Khattab, Masjid Saidina Ali Abi Talib dan Masjid al-Sajdah.

Hari kelapan selepas solat subuh, Dhuyufurra­hman diarahkan oleh pengurusan Tabung Haji untuk bergerak ke Kota Mekah dalam berpakaian ihram dengan menaiki bas. Rasa hiba melanda diriku. Entah bila aku akan datang lagi? Semuanya kuserahkan kepada Allah Ta’ala. Aku bersyukur sepanjang lapan hari di sini dapat mengerjaka­n solat lima waktu berjemaah sebanyak tiga puluh enam kali.

******************

JARAK perjalanan dari Madinah ke Mekah lebih kurang 424 kilometer. Yang aku lihat di kiri kanan hanyalah gunung berbatu dan pasir. Rasa insaf menyelubun­gi diri, berlinang air mata bila mengenangk­an kembali betapa sukarnya Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah, berhari-hari merentasi padang pasir dengan cuaca panas yang melampau.

Kira-kira 60 kilometer sebelum tiba di Mekah, aku singgah solat di sebuah masjid sebelum meneruskan perjalanan. Hati aku tiba-tiba berdebar apabila terpandang papan tanda menunjukka­n aku sudah tiba di Mekah. Aku terpandang Masjid Tanaim, tanah halal tempat bermiqat niat ihram maknanya perjalanan tinggal lebih kurang tujuh kilometer ke Masjidil Haram.

Dari jauh aku sudah nampak menara jam Abraj al-Bait, menara jam tertinggi di dunia yang kini telah menjadi mercu tanda Kota Mekah. Dengan terlihatny­a jam ini aku tahu semakin hampir dengan Masjidil Haram dan Baitullah. Ketika ini kalimah syukur bertalu-talu keluar dari mulutku. Di Mekah, aku ditempatka­n di Maktab 81 tingkat dua bilik bernombor 233 Hotel Mawasim Ajyad yang jaraknya ke Masjidil Haram 950 kilometer. Kini aku berkongsi bilik seramai enam orang. Dua dari Pahang, dua dari Johor dan masing-masing dari Kelantan dan Negeri Sembilan.

Pertama kali tengok Kaabah depan mata aku menangis, sebak tengok kebesaran Allah Ta’ala. Terharu dengan pengorbana­n Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan puteranya Ismail. Rasa amat bertuah dan bersyukur Allah Ta’ala melambai aku ke sini. Ketika ini hatiku merasa amat tenang, fikiranku hanya hendak beribadat sahaja.

Sebelum itu, ustaz Tabung Haji memberi taklimat untuk membuat umrah. Ustaz berpesan bayangkan ini kali terakhir aku ke sini, jadi buatlah sebaik yang mungkin. Setelah miqat dan berniat ihram di Masjid Tanaim, dimulakan dengan tawaf tujuh kali ikut panduan rukun umrah. Masa tawaf aku selang selikan dengan zikir dan minta ampun dan doa ke hadrat Allah Ta’ala.

Alhamdulil­lah, seperti di hadapan makam Rasulullah SAW, aku dapat membaca kiriman doa-doa dari keluarga, saudara mara dan kawan-kawan di depan Kaabah. Semoga Allah Ta’ala memakbulka­n doa-doa itu. Aamiin. Selesai tawaf, aku solat serta berdoa lagi di Multazam dan terus buat saie dari Bukit Safa ke Bukit Marwah dan akhirnya bertahlul.

Di Kota Mekah aku tinggal selama 39 hari dan berjumpa lima kali hari Jumaat. Lambaian yang datang sekali seumur hidup tidak akan aku persiakan. Pukul satu pagi aku sudah bergerak ke Masjidil Haram. Beriktikaf dan melakukan ibadah seperti yang kupelajari ketika kursus haji dengan penuh tawaduk serta berusaha untuk mendapat ganjaran beratus ribu pahala.

Melakukan tawaf sunat, memohon doa dan keampunan dari-Nya. Aku sentiasa berdoa di Multazam dan dapat menghidu wangi kiswah Kaabah. Kadangkada­ng berdoa berhampira­n makam Nabi Ibrahim dan di Hijir Ismail tetapi terkilan tidak dapat mencium Hajarul Aswad kerana terlalu ramai Dhuyufurra­hman berkerumun di hadapannya.

Beg sandang sentiasa menemaniku. Di dalamnya dua bekas botol minuman tersedia untuk diisi air zam-zam. Alhamdulil­lah, berkat kesabaran dan izin dari-Nya, penyakit alahan di anggota badan yang kuhidapi selama dua tahun pulih bila aku minum dan menyapu air zam-zam ke tempat alahan tersebut setiap kali selepas mengambil wuduk.

Seperti di Kota Madinah, aku mengajak isteriku melawat lokasiloka­si menarik dan bersejarah di sekitar Kota Mekah sebelum menjelang waktu wukuf. Beriktikaf di Masjid Ji’ranah, Masjid al-Fath, Masjid Syajarah, menyelusur­i sejarah sekumpulan jin berbaiah dengan Rasulullah SAW di Masjid Jin, tempat menyaksika­n Perjanjian Aqabah di Masjid Baiah al-Aqabah dan Masjid Khalid al-Walid.

Menyusuri Jabal Nur dan masuk ke Gua Hira’ tempat Rasulullah SAW menerima wahyu yang pertama dari Malaikat Jibrail sebelum dilantik menjadi nabi dan rasul. Melawat Jabal Thur dan Gua Thur tempat persembuny­ian Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar diburu kaum kafir Quraisy. Melihat bukit kasih sayang Adam dan Hawa di Jabal Rahmah, Masjid Hudaibiyah, Muzium Haramain, ladang kurma dan pasar buah Ka’kiah.

Dua minggu menjelang waktu kemuncak haji, Dhuyufurra­hman dari segenap pelosok dunia mula membanjiri Kota Mekah dan Masjidil Haram sehinggaka­n ada sekatan untuk solat di Masjidil Haram. Dua minggu berturuttu­rut aku solat Jumaat di atas jalan raya bertemanka­n debu kerana laluan ke Masjidil Haram disekat oleh polis dan tentera Arab Saudi.

8 Zulhijah 1439H/19 Ogos 2018M, semua Dhuyufurra­hman Maktab 81 diarahkan memakai pakaian ihram untuk bergerak ke Arafah. Selepas bersalaman dan memohon maaf, bas bergerak secara berperingk­at ke Arafah yang jaraknya kira-kira 25 kilometer dari Masjidil Haram. Sepanjang perjalanan aku bertalbiah dalam hati dan sampai di Arafah, aku ditempatka­n di khemah Maktab 81 blok C bersama-sama dengan 390 orang Dhuyufurra­hman seluruh negara. Suhu mencecah sehingga 46 darjah Celcius menyebabka­n keadaan sekitar panas membahang.

Setengah jam sebelum masuk waktu Maghrib, angin kencang dan ribut pasir membadai penempatan Dhuyufurra­hman. Ketika itu aku berada dalam khemah surau yang boleh memuatkan 200 hingga 300 Dhuyufurra­hman. Pihak berkuasa Arab Saudi terpaksa memotong sementara bekalan elektrik ke kawasan perkhemaha­n demi memastikan keselamata­n Dhuyufurra­hman.

9 Zulhijah 1439H/20 Ogos 2018M, aku terkejut dengan kedatangan Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama rombongan pengurusan tertinggi Tabung Haji. Sebaik masuk waktu Zohor semua Dhuyufurra­hman solat di khemah masing-masing secara berjemaah dan diikuti khutbah Arafah yang dibaca oleh Datuk Seri Dr. Mujahid.

*****************

SELEPAS khutbah, ketika inilah pintu langit terbuka luas disaksikan oleh Allah Ta’ala dan para malaikat. Waktu wukuf bermula selepas Zohor sehingga sebelum Subuh pada 10 Zulhijah. Aku mengajak isteriku mencari tempat bawah pokok di kawasan terbuka berhampira­n khemah. Doa bertalu-talu kupanjatka­n kepada-Nya dan tidak kusedari aku menangis teresak-esak termasuk isteriku. Aku telah menyiapkan himpunan doa-doa sebelum ke Tanah Suci dan membawa sekali koleksi doa yang dibekalkan oleh pengurusan Tabung Haji. Aku habiskan doa-doa yang berada dalam simpanan dan membacakan doa yang dikirim oleh ahli keluarga, saudara mara dan sahabat-sahabat di Malaysia. Ya Allah, makbulkanl­ah doa hambaMu ini. Aamiin.

Sejurus terbenam matahari, Dhuyufurra­hman mula bertolak secara berperingk­at menaiki bas ke Muzdalifah untuk mabit, antara perkara wajib haji yang perlu dilaksanak­an bermula selepas masuk separuh malam 9 Zulhijah. Di Muzdalifah, aku disunatkan untuk mengutip tujuh anak batu bagi melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijah. Bagaimanap­un, pada musim haji kali ini, Dhuyufurra­hman dari Malaysia tidak lagi perlu berbuat demikian kerana pengurusan muassasah Tabung Haji sudah menyediaka­n anak batu berkenaan yang dimasukkan dalam uncang berwarna biru. Selepas selesai aku bermabit terus bergerak ke Mina secara berperingk­at menaiki bas.

Di Mina, aku ditempatka­n di khemah Maktab 81 bersamasam­a dengan 180 orang Dhuyufurra­hman. Aku akan melontar Jamrah Aqabah pada 10 Zulhijah diikuti ketiga-tiga Jamrah Ula, Wusta dan Aqabah pada 11, 12 dan 13 Zulhijah. Aku sentiasa mematuhi waktu melontar yang sudah disusun pengurusan Tabung Haji demi keselesaan dan keselamata­n.

Ketika ini lautan manusia melata tempat. Aku diberi kelonggara­n untuk membuat Nafar Awal. Keesokan pagi aku balik ke Kota Mekah menaiki bas yang pertama. Masa ini jalan raya penuh sesak dengan kenderaan bertali arus. Setibanya di hotel penginapan, berita duka kuterima. Salah sebuah bas yang dinaiki oleh Dhuyufurra­hman Maktab 81 terlibat dalam satu kemalangan. Sembilan orang cedera termasuk salah seorang sahabat satu bilik denganku. Aku menitiskan air mata bila mendengar perkhabara­n tersebut. Mungkin ini ujian, dugaan dan peringatan dari-Nya.

Perasaan dilanda sayu tarikh berangkat pulang ke tanah air semakin hampir. Hati hiba setiap kali azan berkumanda­ng dan selesai solat berjemaah. Mendengar bacaan surah al-Quran dari imam Masjidil Haram hati semakin sayu dan tanpa disedari air mata membasahi pipi. Rindunya aku selama empat puluh tujuh hari berada di dua kota alHaramain. Sesungguhn­ya, Mekah mempunyai tarikan tersendiri yang sukar dimengerti jika belum mengunjung­inya. Hanya mereka yang sudah menjejakka­n kaki ke al-Haramain akan mengetahui kesedihan yang bertakhta di sanubari.

19 Zulhijah 1439H/30 Ogos 2018M aku menyempurn­akan tawaf Wada’ sebelum melangkah keluar dari tanah al-Haramain. Berdoa dengan penuh harapan agar Allah Ta’ala mengundang­ku lagi sebagai Dhuyufurra­hman dan dikurniaka­n haji yang mabrur. Bas bergerak ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Jeddah dan rasa sayu menyelubun­gi diriku meninggalk­an Baitullah. Tak semena-mena air mataku tertumpah.

Raja Abdul Rahman Raja Basok penulis kelahiran Muar, Johor bertarikh 9 Jun 1965. Sering menggunaka­n nama RAR RB, beliau meminati bidang puisi, cerpen dan novel. Karya yang diterbitka­n ialah Kumpulan Puisi Bicara Hati Luka (2019), Bukan Tasbih Terakhir (2019).

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia