DAM hos Hari Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri tahun ini
MIRI: Persatuan Dayak Miri (DAM) akan menjadi hos dan mengetuai sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri tahun ini.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, jawatankuasa sambutan perayaan peringkat bahagian Miri kali ini yang menghimpunkan 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan etnik Dayak, yang turut disokong Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Miri.
Penasihat jawatankuasa, Dr Nuing Jeluing berkata, acara tahunan ini dianjurkan dengan matlamat menyatukan masyarakat Dayak di kawasan utara negeri ini, menerusi usaha bersama dalam mengekal dan memperkasakan kebudayaan, tradisi dan pendidikan.
“Acara ini juga telah menjadi tarikan dalam kalangan penduduk setempat daripada pelbagai etnik kaum Dayak, untuk sama-sama melibatkan diri dan menjadi sebahagian daripada sambutan perayaan ini,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, acara itu kelak dijangka dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang merupakan tetamu kehormat sempena acara kemuncak sambutan, iaitu majlis makan malam sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri.
Acara kemuncak sambutan, iaitu majlis makan malam yang akan menyaksikan pertandingan akhir Kumang dan Keling Gawai Iban serta Bidayuh 2020 dan serta Belawan dan Keligit Gawai Orang Ulu 2020, dijangka berlangsung pada 25 Mei di Hotel Meritz di sini.
Pengerusi penganjur acara bagi tahun ini, Wilfred Mac, yang juga timbalan presiden DAM, berkata pelbagai acara akan diadakan sepanjang sambutan perayaan itu kelak, termasuk pada majlis makan malam tersebut.
“Kita akan menganjurkan acara seperti derma darah, pertandingan nyanyian lagulagu Dayak, peraduan mewarna untuk kanak-kanak, khidmat masyarakat dan program outreach untuk golongan memerlukan,” katanya.
Sempena acara kemuncak majlis makan malam juga, pihak penganjur katanya akan mengadakan pertandingan saringan awal Kumang dan Keling Gawai 2020, Dayung Sangon 2020 serta Belawan dan Keligit Gawai 2020 yang akan dimaklumkan tarikh penyertaannya kelak.
“Selain pertandingan akhir pertandingan ini kelak, kita juga akan memberi Anugerah Pendidikan Cemerlang Pelajar Dayak, untuk anakanak yang mencapai kejayaan dalam pendidikan terutama mereka yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan umum yang diduduki tahun lalu,” tambah beliau.
Sehubungan itu, Wilfred turut menyeru sokongan dan menggesa orang ramai khususnya masyarakat Dayak di sini, untuk turut serta dan tampil memberi sokongan mereka dalam acara-acara yang diadakan kelak.
Sementara mereka yang berminat mahu menghadiri majlis makan malam itu kelak, boleh mendapatkannya dalam masa dua minggu lagi.
Untuk maklumat lanjut berhubung majlis makan malam tersebut, orang ramai boleh menghubungi sekretariat jawatankuasa di Rumah Dayak, menerusi talian 085-435467, pada waktu pejabat.