IPDAS Kudat beri keutamaan kepada golongan mualaf
Lanjutkan pengajian formal ke peringkat yang lebih tinggi
KOTA KINABALU: Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Kampus Kudat akan memberi keutamaan kepada golongan mualaf yang mahu melanjutkan pengajian formal ke peringkat yang lebih tinggi.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Hakimah Mohd Yusoff berkata, IPDAS Kampus Kudat juga akan melaksanakan kurikulum Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diakreditasikan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.
Menurutnya, para mualaf yang berpotensi disarankan memulakan pengajian dengan Sijil Asas Pengajian Islam yang diiktiraf oleh JAKIM.
Katanya, selepas itu mereka boleh meneruskan pengajian peringkat SKM menggunakan ‘National Occupational Standard Skill’ (NOSS).
“Sebaik tamat pengajian di peringkat sijil kemahiran ini, mereka boleh melanjutkan pengajian di peringkat diploma di IPDAS dan seterusnya ke peringkat ijazah di universiti tempatan atau luar negara.
“Hala tuju pendidikan tinggi mualaf amat penting bagi kita menyediakan keperluan tenaga agamawan untuk mentarbiyah para muallaf masa depan dengan bahasa ibunda dan budaya yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pendidikan Tinggi Muallaf anjuran bersama IPDAS, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan JAKIM Cawangan Sabah di sini barubaru ini.
Hakimah turut mencadangkan agar seminar berkenaan dapat menyediakan hala tuju pendidikan tinggi mualaf di Malaysia.
Di samping itu jelasnya, kelestarian pendidikan Islam berasaskan ahli sunnah wal jamaah juga amat penting untuk diterapkan.
“Justeru, graduan yang berjiwa rahmah dapat dihasilkan dan mampu menangkis pemikiran ekstrem yang melahirkan kelompok radikal dan liberal.
“Begitu juga dengan pendedahan kepada ilmu kemahiran dan keusahawanan kepada para mualaf untuk memastikan mereka mencipta pekerjaan sendiri dan meneruskan kehidupan yang mencabar tanpa bergantung kepada bantuan semata-mata,” katanya.
Menurutnya, sebagai langkah permulaan, IPDAS akan menandatangani Nota Perjanjian Kerjasama dengan Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) bagi melaksanakan program khas kemahiran.
Beliau berkata, program berkenaan melibatkan kursus jangka pendek bagi Kemahiran Asas Membaiki Telefon serta Asas Automatif dan Kimpalan.
“Program ini akan mula dilaksanakan tahun ini melibatkan kemasukan pelajar pada April 2020.
“Sehubungan itu, saya amat mengharapkan agar usaha-usaha yang kita lakukan ini dapat memperkasakan pendidikan agama khususnya kepada para mualaf.
“Ia seiring dengan usaha untuk melahirkan saudara kita yang terus beristiqamah dan kekal mengamalkan ajaran Islam sebenar di samping mampu menjadi pendakwah yang kompeten,” katanya.
Seramai 100 peserta menyertai Seminar Pendidikan Tinggi Muallaf termasuk pendaftarpendaftar mualaf di setiap jabatan agama Islam seluruh negara, pensyarah-pensyarah kanan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan badan bukan kerajaan (NGO).
Seminar berkenaan bertujuan merangka kerjasama strategik dan menjana idea bagi mendapatkan input daripada semua pihak yang terlibat.