Utusan Borneo (Sabah)

Anwar, Wan Azizah, Mat Sabu dan Guan Eng bertemu Dr M di kediamanny­a

-

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam menemui Perdana Menteri di kediamanny­a di The Mines Resort di Seri Kembangan berhubung perkembang­an politik semasa.

Wartawan dan jurugambar yang menunggu di pintu masuk kediaman Dr Mahathir melihat barisan kenderaan serta pengiring membawa mereka memasuki kawasan kediaman itu pada lebih kurang jam 10.45 pagi.

Pemimpin-pemimpin itu juga dilihat menunggu di luar seketika sebelum memasuki kediaman untuk bertemu Perdana Menteri.

Selepas pertemuan, kenderaan yang membawa Anwar, Wan Azizah dan Mohamad Sabu dilihat meninggalk­an pekarangan kediaman itu dari pintu A pada jam 12.33 tengah hari bersama pengiring. Kenderaan yang membawa Guan Eng keluar lebih awal melalui pintu B pada jam 12.15 tengah hari.

Anwar dan Wan Azizah kemudian menghadiri mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di Ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya sementara Guan Eng pula terus ke sidang tergempar Jawatankua­sa Eksekutif Pusat DAP.

Sebuah media dalam talian melaporkan Anwar sebagai berkata beliau telah mengadakan ‘good meeting’ dengan perdana menteri dan menambah “kita perlu mengutamak­an prinsip selain meneruskan dengan agenda reformasi”.

Sementara, Guan Eng apabila tiba untuk sidang tergempar parti di ibu pejabat parti semasa ditanya wartawan berkata, ia satu pertemuan penuh emosi.

Sejak kelmarin terdapat desas-desus yang landskap politik akan menyaksika­n aturan baharu untuk menggantik­an Pakatan Harapan sehingga menimbulka­n pelbagai spekulasi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia