Utusan Borneo (Sabah)

Goldman Sachs mengaku tidak bersalah tuduhan terbitan bon 1MDB RM27.2b

-

KUALA LUMPUR: Wakil Goldman Sachs Internatio­nal Ltd, yang berpangkal­an di United Kingdom dan entitinya di Asia, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini berhubung terbitan bon 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) bernilai RM27.2 bilion (AS$6.5 bilion).

Wakil syarikat itu, Ng Keng Leong membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah semasa pengurusan kes itu semalam.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Zaki Asyraf Zubir, Norinna Bahadun, Aaron Chelliah dan Mohamad Mustaffa P. Kunyalam mewakili pihak pendakwaan, manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik, Krishna Dallumah, Datuk

Prem Ramachandr­an dan Chetan Jethawani mewakili Goldman Sachs.

Zaki Asyraf memohon semua pertuduhan terhadap ketiga-tiga entiti itu dibicaraka­n bersama dan beliau juga memberitah­u mahkamah pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh perbicaraa­n pada 9, 10, 11, 12, dan 13 Nov tahun ini; 4, 5, 6, 7 dan 8 Jan 2021; 15, 16, 17, 18, 19, 22, 23, 24, 25 dan 26 Feb; 8, 9, 10, 11, 15, 16, 17 dan 18 Mac serta 5, 6, 7, 8, 12, 13, 14 dan 15 April.

Mahkamah juga menetapkan 18 Mei untuk pengurusan kes.

Pada Disember 2018, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs di Mahkamah Majistret di sini kerana didakwa meninggalk­an fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investment­s PJS Ltd (Aabar).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013.

Syarikat itu didakwa mengikut seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmat­an 2007 dan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggar­kan kira-kira AS$4.5 bilion diseleweng­kan daripada 1MDB antara 2009 hingga 2014. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia