Utusan Borneo (Sabah)

Pegawai, anggota polis tak mengaku rasuah, peras ugut

-

KUANTAN: Seorang pegawai dan enam anggota dari Bahagian Risik Operasi Polis Marin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan meminta rasuah RM500,000 dan memeras ugut seorang penyelia pemandu lori, September lalu.

Semua mereka bagaimanap­un mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mereka ialah ASP Mohd Haniff Omar, 37; Koperal Eddy Nurazman Mohd Nozeri, 37; Sarjan Helmie Yazir Ahmad, 39; Koperal Mohd Fairul Ishak, 37; Koperal Saharuddin Abdul Hamid, 36; Koperal Irdysham Mat Husain, 36; dan Lans Koperal Mohd Fazli Mohd Radzi, 37.

Semua tertuduh didakwa meminta suapan itu daripada G. Nadesa Pillai di antara 3 dengan 3.30 pagi, 19 Sept lalu di simpang masuk Sekolah Kebangsaan Kedaik, Rompin yang dikatakan sebagai dorongan melepaskan tiga pemandu dan lori membawa muatan 35,000 karton rokok seludup serta 708 botol arak tidak bercukai.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memeras ugut Nadesa Pillai dengan mengatakan akan merampas semua rokok dan arak itu jika mangsa enggan membayar wang yang diminta selain mendorongn­ya untuk menyerahka­n 4,900 karton rokok dan 708 botol arak.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Mohamed Khairul Fathi Mohamed Khir yang mewakili semua tertuduh kecuali Helmie Yazir merayu jaminan RM100,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan terhadap semua tertuduh dengan seorang penjamin, dikurangka­n atas alasan faktor kewangan anak guamnya.

“Pendapatan tertuduh adalah di antara RM3,100 dengan RM4,400 yang kebanyakan mereka merupakan penanggung tunggal keluarga. Tertuduh juga kini berkemungk­inan akan ditahan kerja selepas dihadapkan ke mahkamah menyebabka­n gaji ditahan atau hanya diterima separuh,” katanya.

Sementara itu, Helmie Yazir pula sebak semasa mengemukak­an rayuan dengan menyatakan dirinya menyara seorang isteri yang merupakan pekerja sokongan kerajaan bersama lima anak berusia di antara setahun hingga 10 tahun dan orang tua yang uzur.

“Saya telah menggunaka­n semua simpanan saya di Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan gaji untuk membuat persiapan persekolah­an anak sebelum ini. Saya hanya dapat mengumpul wang sebanyak RM4,000 bagi tujuan jaminan hari ini (semalam), hasil daripada menjual barang kemas isteri saya,” katanya.

Mohd Ghazali menetapkan jaminan semua tertuduh sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 25 Mac ini sebagai sebutan semula.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? DIBICARAKA­N: Seorang pegawai berpangkat ASP dan enam anggota dari Bahagian Risik Operasi Polis Marin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan Kuantan semalam atas tuduhan meminta rasuah RM500,000 dan memeras ugut penyelia pemandu lori September lalu.
— Gambar Bernama DIBICARAKA­N: Seorang pegawai berpangkat ASP dan enam anggota dari Bahagian Risik Operasi Polis Marin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan Kuantan semalam atas tuduhan meminta rasuah RM500,000 dan memeras ugut penyelia pemandu lori September lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia