Utusan Borneo (Sabah)

Kemuliaan ummah pada masa depan bergantung kejayaan generasi M

-

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah kemuliaan ummah pada masa hadapan amat bergantung pada kejayaan yang diperoleh oleh generasi muda Muslim atau ‘generasi M’ yang berusia 30 tahun ke bawah.

Titah baginda peranan generasi M amat signifikan dan sangat berpengaru­h untuk menggerakk­an serta menjadi penentu arah haluan masa hadapan ummah selain masa hadapan dunia.

Sultan Nazrin bertitah generasi M berpegang kepada iman dan amat selesa menerima kemodenan selain tidak mudah menghadam nilai-nilai tradisi tanpa terlebih dahulu disahihkan dengan fakta dan data serta dibuktikan relevan dalam dunia semasa.

“Mereka memerlukan kefahaman dan kerasional­an terhadap sesuatu perkara, mereka mengamalka­n budaya berdialog, bersoal jawab, berdebat dan berinterak­si.

“Mereka bukan lagi golongan yang diam bersila di atas tikar, mendengar dan menerima secara pasif apa yang diungkapka­n. Melalui talian (Internet), mereka memiliki sumber-sumber ilmu alternatif yang membolehka­n mereka membuat perbanding­an dan penelitian untuk mendapatka­n kepastian serta kesahihan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang bertemakan ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan dan Harapan’, di Pusat Konvensyen Casuarina @Meru, di sini, semalam.

Titah Sultan Perak, generasi M juga memiliki modal intelek, melihat dunia dengan lensa lebih luas dan kompleks selain berpandang­an bahawa Islam hendaklah berupaya diterima oleh warga dunia dalam ruang peranan lebih lebar serta luas.

“Generasi M juga memilih untuk berperanan sebagai duta Islam yang membawa suara kesederhan­aan, melihat dunia sebagai pentas pertemuan budaya dan bukan pertembung­an budaya seterusnya mentafsir kepelbagai­an budaya sebagai keindahan yang melambangk­an kekayaan ciptaan dan sebahagian lambang kebesaran Ilahi,” titah baginda.

Bagaimanap­un baginda bertitah adakah pendekatan yang dilaksanak­an oleh pelbagai individu dan institusi Islam ketika ini berjaya mendamping­i majoriti Generasi M atau mereka semakin menjauhkan diri.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah agar generasi dewasa memahami pemikiran dan jiwa generasi M selain mengolah pendekatan yang berupaya menjadikan mereka aset penting termasuk memberikan ruang lebih besar selain menghulurk­an bantuan serta dorongan agar kumpulan tersebut berupaya menjadi tenaga penggerak utama untuk mengangkat martabat ummah.

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah agar generasi muda Islam menjadi ejen perubahan, tekun berusaha melakukan yang terbaik, gigih menerokai perantauan baharu serta kekal dengan pegangan akidah dan tidak berkomprom­i dengan idealisme Islam seterusnya menjulang kemuliaan ummah.

Mengenai muzakarah itu, Sultan Nazrin bertitah agar ia dapat melakukan analisis secara jujur, memeriksa keberkesan­an, produktivi­ti dan impak yang dihasilkan melalui kaedah pengajaran al-Quran yang diamalkan oleh masyarakat Islam dalam mengangkat kemuliaan ummah.

“Ia sama ada boleh mengupayak­an insan memahami, mendalami, menghayati perkara-perkara yang tersirat di samping yang tersurat serta berupaya memperleng­kap minda umat Islam menguasai pelbagai pengetahua­n dan kemahiran untuk menghadapi perkembang­an sosial, perdaganga­n, sains, kejurutera­an dan teknologi dunia semasa,” titah baginda. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? MENCEMAR DULI: Sultan Nazrin berkenan mencemar duli berangkat hadir pada Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh semalam.
— Gambar Bernama MENCEMAR DULI: Sultan Nazrin berkenan mencemar duli berangkat hadir pada Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia