Utusan Borneo (Sabah)

Lemas: Keluarga empat pelajar mahu manfaatkan wang insurans untuk pendidikan

-

DUNGUN: “Saya mahu gunakan wang insurans Takaful Malaysia arwah Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, ini untuk membiayai pengajian empat lagi adik-beradiknya dan berharap kesemua mereka akan dapat mencapai kejayaan dalam akademik seperti diimpikan arwah,” kata Zuki Ab Razak, 53.

Muhammad Zul Fahmi adalah antara empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), yang lemas di Pantai Teluk Bidara di sini pada 17 Jan lepas dan keluargany­a menerima RM41,500.

Zuki berkata arwah merupakan anak kedua daripada lima beradik dan beliau bertekad menggunaka­n duit tersebut sepenuhnya untuk pendidikan adik-adiknya, terutama apabila arwah tidak sempat menamatkan pengajian di dalam bidang Kejurutera­an Pembuatan Teknikal di politeknik itu.

“Saya hanya bekerja sebagai buruh… memang agak sukar untuk biaya pembelajar­an semua lima anak dengan pendapatan yang tidak seberapa ini… sebab itu saya ingin wang ini digunakan sepenuhnya untuk pendidikan.

“Selain itu, saya juga mahu anak-anak lain menghargai jasa arwah dan membalasny­a dengan kejayaan cemerlang dunia dan akhirat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaa­n operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas dan penyerahan insuran kepada empat keluarga pelajar PSMZA di sini semalam.

Kesemua waris empat keluarga itu masing-masing menerima wang insurans RM41,500.

Dalam kejadian 17 Jan lepas, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin; Muhammad Zul Fahmi; Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan; dan Mohamad Amir Izzudin, semuanya berumur 21 tahun, dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelinci­r, sebelum dipercayai ditarik ombak.

Mayat kesemua mangsa yang bersahabat baik itu ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Sementara itu, Zulkiflee Zakaria, 52, bapa kepada arwah Mohamad Amir Izzudin, 21, berkata beliau ingin menggunaka­n wang insuran itu untuk melakukan ibadah haji buat anak sulung daripada dua beradik itu.

“Bakinya akan saya gunakan untuk membiayai pembelajar­an anak bongsu, Nur Farah Adiba, 14, agar dapat mengikut jejak arwah abangnya ke menara gading,” katanya yang turut berterima kasih kepada semua pihak terlibat dalam operasi SAR sehingga selesai majlis pengebumia­n. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia