RM500 UNTUK PESAKIT COVID-19

Pembayaran dibuat secara atas talian mulai semalam

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh Siti Aisyah Narudin

KOTA KINABALU: Pesakit COVID-19 atau ahli keluarga pesakit di negeri ini akan menerima bantuan tunai secara ‘one-off’ berjumlah RM500.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Safar Untong berkata, kerajaan negeri memperuntu­kkan bantuan berkenaan di bawah Pusat Gerakan COVID-19 Sabah.

Katanya, pembayaran akan disalurkan ke akaun bank masing-masing sebaik sahaja nombor akaun bank pesakit atau ahli keluarga pesakit diperoleh daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Bagi pembayaran elaun bantuan khas RM500 kepada golongan miskin dan miskin tegar di Sabah, ia dibayar secara dalam talian (online) mulai hari ini (26 Mac 2020) oleh semua Pejabat Daerah di seluruh negeri.

“Mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dilakukan secara tunai,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, bantuan tunai ‘one-off’ RM300 kepada golongan berpendapa­tan rendah (B40) atau golongan yang terjejas teruk akibat COVID-19, pembayaran secara atas talian ke akaun bank masing-masing bermula 26 Mac 2020.

Menurutnya, bagi kumpulan ‘vulnerable’ seperti warga tua, anak-anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) yang melibatkan seramai 62,638 orang dan ibu-ibu tunggal seramai 6,500 orang di seluruh Sabah, pembayaran RM300 dijangka dimasukkan ke akaun bank masing-masing pada 27 Mac 2020.

“Bantuan makanan kepada golongan yang terjejas secara langsung oleh wabak COVID-19 di seluruh Sabah mula diagihkan sejak jam 3 petang pada 25 Mac lepas.

“Sebahagian besar daripada bantuan ini dijangka dapat diterima oleh kumpulan sasar hari ini (26 Mac), manakala bagi selebihnya, bantuan akan disampaika­n dalam tempoh yang terdekat,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya turut memutuskan manamana pelajar atau orang awam yang balik dari luar negara ke Sabah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan.

Katanya, bagi mana-mana pelajar atau orang awam yang balik dari luar negeri ke Sabah sepanjang tempoh PKP, akan dikenakan ‘Stay Home Notice’ dan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

SAFAR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.