Ingkar PKP: Dua lelaki dipenjara 10 bulan, denda RM6,000

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh Vivi Olviana Najurus

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini mengenakan hukuman penjara serta denda kepada dua lelaki yang menghalang tugas polis dengan mengingkar­i arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhka­n hukuman terbabit kepada kedua-dua tertuduh masing-masing Yong Tze Hou, 26, yang dihukum penjara selama 10 bulan dan Injimar Abu Gafar, 33, dikenakan denda RM6,000 serta akan dihukum penjara sekiranya gagal membayar denda dikenakan.

Hukuman terbabit dibuat selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dengan pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarka­n fakta kes, Yong didakwa selepas menghalang penjawat awam menjalanka­n tugas iaitu melarikan diri daripada anggota polis yang menjalanka­n rondaan dari kawasan Jalan Kampung Cenderakas­ih sehingga ke

Jalan Bukit Bendera dalam kejadian selama dua jam bermula jam 1.30 pagi kelmarin.

Manakala Injimar yang memegang kad berstatus pemastauti­n tetap turut menerima hukuman selepas menghalang pegawai polis dengan tidak memberikan kerjasama selain mengeluark­an kata-kata kesat kepada pasukan polis dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Tuaran Batu 7, Inanam pada 9.15 malam pada 23 Mac.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanap­un memohon kepada mahkamah agar memberi hukuman minimum berikutan ianya adalah kesalahan pertama serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau sebelum ini.

Yong diperintah­kan menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh dia ditangkap semalam dan Injimar akan dirujuk kepada pihak Imigresen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abd Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum sebagai pengajaran kepada tertuduh selain memberikan kesedaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.

IRING: Polis mengiringi Yong (tengah) dan Injimar keluar dari kamar mahkamah selepas selesai prosiding.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.