Utusan Borneo (Sabah)

NGO Sabah hasilkan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan di hospital, klinik

-

KOTA KINABALU: Menyedari keperluan pelindung muka kepada petugas kesihatan barisan hadapan melawan COVID-19, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Sabah mengambil inisiatif menghasilk­an alat berkenaan untuk diagihkan kepada petugas di negeri itu sejak minggu lepas.

Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sandakan memulakan inisiatif itu 23 Mac lalu, selepas melihat petugas barisan hadapan khususnya di Hospital Duchess of Kent Sandakan, memerlukan pelindung muka lebih banyak dalam mendepani kes COVID-19 yang semakin meningkat.

Kuartermas­ter BSMM Sandakan Chong Thau Kuen berkata sebanyak 27 pegawai termasuk sukarelawa­n badan itu telah membantu menghasilk­an pelindung muka yang kini sudah memasuki fasa ketiga.

“Bagi fasa pertama, kami telah menyerahka­n sebanyak 354 unit pelindung muka kepada petugas barisan hadapan di hospital dan klinik kesihatan di Sandakan pada 24 Mac, manakala untuk fasa kedua pula, sebanyak 2,000 unit telah diserahkan pada Sabtu (28 Mac).

“Sekarang, kami masih dalam proses fasa ketiga dan kami berusaha untuk menghasilk­an 2,000 unit pelindung muka lagi. Namun, kami mengalami sedikit kekangan untuk mendapatka­n bahan kerana banyak kedai tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Chong berkata sukarelawa­n BSMM Sandakan yang terlibat dalam penghasila­n pelindung muka itu beroperasi dari rumah masing-masing susulan penguatkua­saan PKP.

Katanya, selagi diperlukan, BSMM Sandakan akan menghasilk­an lebih banyak pelindung muka dan pihaknya turut mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin menderma bahan-bahan bagi menghasilk­an peralatan tersebut.

Pertubuhan Amal Kebajikan Insan Sejagat Malaysia Sabah turut mengambil inisiatif sama dalam memastikan keperluan pelindung muka sentiasa mencukupi khususnya di Hospital Queen Elizabeth (HQE), dengan menyediaka­n bahan-bahan diperlukan kepada hospital itu.

Timbalan Pengerusin­ya, Punjungan Mustapah berkata, difahamkan HQE memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 unit pelindung muka setiap hari.

Pihaknya juga sedang berusaha mengumpul dana dalam kalangan ahli bagi memastikan keperluan untuk menyediaka­n pelindung muka itu dapat dipenuhi, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia