PKP: Penduduk flat Sibu Jaya terima sumbangan
SIBU: Syarikat Happinwin Development Sdn Bhd mengagihkan bantuan beras, telur dan mi kepada penduduk flat Sibu Jaya yang memerlukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa hingga 14 April ini.
Pengurus syarikat yang juga Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Kong Yii Tee berkata beliau sedar PKP ini menyebabkan kesukaran mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian.
“Penularan wabak COVID19 mencabar setiap kita dan masyarakat perlu bersama berganding bahu menghadapi waktu mencabar ini.
“Oleh kerana pergerakan terbatas diharap bantuan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kong juga meminta orang ramai terutama penduduk di kawasan flat mematuhi arahan PKP.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dibendung dan diputuskan rantaiannya sekali gus membolehkan keadaan kembali seperti sedia kala.
Beliau meminta lebih ramai tokoh korporat, sektor swasta serta golongan usahawan tampil membantu pada saat rakyat sangat memerlukan bantuan keperluan bekalan harian.
Dalam pada itu, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu Jaya Danggang Ugik berkata sumbangan itu amat bermakna bagi penduduk flat di sini.
Danggang berkata, sebelum ini mereka bagaikan patah semangat selepas PKP dikuatkuasakan.
Katanya, ketika ini golongan pekerja bergaji hari terpaksa menggunakan duit simpanan yang semakin kurang bagi menampung perbelanjaan dan dikhuatiri tidak mencukupi sehingga tempoh PKP pada 14 April ini.