Sebanyak 4,952 pintu penduduk DUN Bekenu menerima bantuan
MIRI: Sebanyak 4,952 pintu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu masing-masing menerima bantuan makanan daripada dua wakil rakyat di kawasan tersebut.
Daripada jumlah itu, 1,740 penerima (pintu) adalah dari 33 kampung di kawasan Sibuti, 696 penerima dari 10 kampung di Niah, 641 penerima dari 16 rumah panjang di Sibuti dan 1,310 penerima dari 43 rumah panjang di Niah.
Turut menerima bantuan adalah 565 pintu masyarakat Cina di Bekenu dan Niah iaitu 24 pintu di Kampung Angus, Pelapi (25 pintu), Lumut (25), Batu Niah (450) dan Sepupok (40).
Manakala bantuan diberikan berupa barangan keperluan asas termasuk beras, gula, minyak masak dan sebagainya.
Menteri Muda Awal Kanak Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata bantuan itu sebagai inisiatif awal membantu golongan memerlukan di kawasan DUN Bekenu.
“Ini adalah bantuan awal kepada penduduk di
DUN Bekenu yang amat memerlukan sementara menunggu bantuan lain diumumkan kerajaan negeri dan pusat.
“Justeru, saya bersama Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni bekerjasama menyediakan bantuan kepada penduduk di sini,” katanya ditemui pada penyerahan bantuan di Bekenu dan Batu Niah kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu mengingatkan penduduk di Bekenu dan Niah layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) namun tercicir daripada senarai penerima supaya mendaftar semula nama mereka secara atas talian atau pergi ke Pusat Khidmat DUN Bekenu dan Parlimen Sibuti.
Katanya perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sementara itu, Lukanisman berharap proses bantuan dapat dilakukan dengan segera bagi tujuan meringankan beban rakyat terutama golongan B40 semasa berhadapan pendemik COVID-19 ini.
“Saya amat faham masalah rakyat ketika berhadapan detik sukar seperti sekarang, justeru saya berharap semua proses bantuan diumumkan kedua-dua pihak kerajaan dapat disegerakan.
“Pada masa sama, saya juga berterima kasih kepada Rosey kerana telah memikirkan formula terbaik pengagihan bantuan makanan ini secara kiraan pintu kepada penduduk di DUN Bekenu,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya ada tercicir daripada senarai penerima bantuan, kedua-dua mereka memikirkan langkah-langkah seterusnya menghulurkan bantuan kepada terlibat (tercicir).
Lukanisman berkata, beliau bekerjasama dengan ADUN Lambir Ripin Lamat dalam usaha menyalurkan bantuan serupa memastikan tiada rakyat di kawasan Parlimen Sibuti tercicir daripada menerima bantuan tersebut.
Dalam pada itu, bantuan makanan tersebut diserahkan kepada ketua kampung untuk diagihkan kepada penerima di kawasan masing-masing bagi mengelak kesesakan dan ramai orang berkumpul.