Operasi sanitasi awam dipergiat dan diperluaskan
Operasi nyah cemar mendapat kerjasama daripada PBT bagi mengekang penularan wabak COVID-19
“Kita juga melakukan operasi nyah cemar di kawasan yang disahkan positif seperti atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi ini ” adalah tertutup.
Khirudin Drahman Pengarah JBPM Sarawak
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan terus mempergiat dan memperluaskan operasi sanitasi awam di negeri ini termasuk kawasan tumpuan awam.
Pengarahnya Khirudin Drahman berkata operasi nyah cemar berkenaan mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengekang penularan wabak COVID19.
“Kita juga melakukan operasi nyah cemar di kawasan yang disahkan positif seperti atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi ini adalah tertutup.
“Bagi sanitasi awam di kawasan tumpuan ramai, kita akan lakukan operasi mengikut senarai PBT dan mendapat kerjasama daripada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melaksanakan Sanitasi Awam
Bomba di kawasan merah di sini, semalam.
Menurut Khirudin, bagi melaksanakan operasi sanitasi awam, semua tujuh zon dan 32 balai bomba seluruh negeri telah dikerahkan untuk melaksanakan di kawasan masing-masing.
Beliau berkata turut dimaklumkan selain di Kuching, Bomba Zon Miri, Sibu, Bintulu dan Lawas/Limbang turut menjalankan sanitasi awam.
“Saya dimaklumkan juga bagi Zon Sibu, ia akan dimulakan esok (hari ini) begitu juga Sri Aman walaupun ia masih belum mencatat kes (COVID-19) tetapi ada permintaan agar tempat awam perlu nyah cemar sebagai langkah pencegahan awal mengekang penularan wabak,” katanya.
Mengenai keanggotan, Khirudin berkata semua balai telah diminta bersedia dalam menjalankan operasi sanitasi awam.
Beliau memberi contoh di Kuching, terdapat empat balai yang boleh membantu menjalankan aktiviti berkenaan.
“Setiap lokasi kita mungkin menggunakan anggota daripada dua balai yang bertugas pada masa berkenaan dan dalam satu pasukan ada tujuh anggota yang akan kita gabungkan,” katanya.
Mengenai program sanitasi awam yang dijalankan di sini semalam, Khirudin berkata pihaknya melaksanakan operasi di dua lokasi, iaitu satu di Satok yang mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Sementara satu lagi di Hui Sing Garden yang mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), ujarnya.
Beliau berkata bagi sanitasi awam, seperti yang dilakukan itu ia adalah senarai tempat yang dikeluarkan oleh PBT, yang menumpukan tempat aksesibiliti kepada awam.