RCMOT beri sokongan padu kepada Hospital Miri
MIRI: Kelab Rotary Miri Oil Town (RCMOT) dengan kerjasama beberapa rakan pintar mereka, telah memberi sokongan padu kepada Hospital Miri dalam usaha mereka menjaga pesakit COVID-19.
Presidennya Chan Soon Onn berkata, mereka menghulurkan bantuan untuk keperluan harian kakitangan wad pengasingan hospital berkenaan seperti dua mesin pembuat kopi dengan bekalan kapsul kopi dan teh tanpa had, roti dan buah-buahan segar yang akan dihantar minggu ini.
Beliau berkata, RCMOT juga telah memasang tiga unit pendingin hawa dan dua unit mesin basuh untuk keperluan di asrama kakitangan perubatan, penginapan bagi kakitangan sokongan dari hospital kerajaan lain yang datang untuk membantu di Hospital Miri serta membekalkan 15 tilam dengan bantal untuk wad pengasingan.
“RCMOT berjaya melaksanakan aktiviti di atas melalui sumbangan daripada rakanrakan Rotary seperti Pari Inn, Gemilang Tiasa Sdn Bhd, Kumpulan Syarikat Pembangunan Green Summit, BGS Group Sdn Bhd, pembuat perabot Sin Siang Hai, Hot Cross Buns, Arissto Coffee Miri dan pelbagai individu serta ahli-ahli kelab Rotary yang menderma secara tunai,” ujar Chan dalam kenyataannya di sini, semalam.
Beliau merayu kepada pendudukM iri untuk menyokong usaha yang telah dilakukan Hospital Miri dalam menjaga pesakit COVID-19, sambil menambah mereka boleh menunjukkan sokongan kepada usaha kakitangan perubatan hospital baik secara moral mahupun dari segi dana untuk membeli keperluan perubatan.
“RCMOT juga merayu kepada orang ramai untuk merakamkan ucapan terima kasih mereka melalui Facebook atau platform dalam talian lain untuk menyatakan penghargaan terhadap pekerja perubatan yang bekerja tanpa mengenal penat lelah dan mempertaruhkan nyawa mereka sendiri untuk menyelamatkan kita.
“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab kita juga harus meringankan beban pihak hospital dengan menjaga diri kita, agar sentiasa selamat dan jauh daripada virus COVID-19 dengan tinggal di dalam rumah,” tegas Chan lagi.