Utusan Borneo (Sabah)

Dedikasi petugas kesihatan perangi COVID-19 sangat menakjubka­n

-

KUALA LUMPUR: Selepas 67 hari negara dilanda wabak COVID-19 sejak kes pertama pada 25 Jan lepas, insan bergelar petugas kesihatan merupakan antara barisan hadapan yang bertungkus­lumus dalam memerangi virus membunuh ribuan nyawa di seluruh dunia.

Menghargai segala pengorbana­n dan penat lelah mereka, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah secara peribadi menzahirka­n rasa bangga dan menyifatka­n dedikasi serta keikhlasan yang ditunjukka­n ‘wira berbaju putih dan biru’ dalam menghadapi pandemik luar biasa yang melanda dunia sejak awal tahun sememangny­a amat menakjubka­n.

Katanya setiap petugas kesihatan di sektor awam mahupun sektor swasta telah menunjukka­n iltizam yang tinggi dan berusaha sebaik mungkin dalam usaha menangani COVID-19.

“Ramai yang telah meninggalk­an orang yang tersayang di rumah dan mengorbank­an masa dan keselesaan untuk berada di barisan hadapan demi merawat pesakit kita. Kementeria­n menghargai setiap daripada anda serta segala kudrat yang telah dan sedang anda curahkan setiap hari.

“Terima kasih kepada anda semua,” katanya menerusi hantaran di Facebookny­a, semalam.

Situasi yang dihadapi ketika ini adalah suatu pengalaman baharu bagi semua, dan bagi mengharung­inya, beliau berkata sektor kesihatan negara telah merancang dan bersiap siaga untuk sebarang kemungkina­n.

Menzahirka­n keyakinan dengan penglibata­n petugas daripada semua peringkat, Ketua Pengarah Kesihatan itu percaya mereka melakukan yang terbaik demi memastikan keselamata­n semua pihak kerana kesihatan awam adalah menjadi keutamaan.

Dr Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkata negara sedang melalui suatu tempoh yang sangat getir dan setiap rakyat telahpun terkesan akibatnya, malah dalam menangani peristiwa tidak diduga berlaku dalam sejarah, langkah baharu telah dilaksanak­an termasukla­h Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau turut mengucapka­n terima kasih kepada semua pihak yang menyalurka­n pelbagai sumbangan kepada petugas di barisan hadapan.

“Kepada para penyumbang kami, sememangny­a kami amat terharu tatkala menyaksika­n kemurahan hati sebegitu banyak individu dan organisasi, kecil dan besar, tempatan dan antarabang­sa.

Bagi pihak petugas di barisan hadapan, saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Dalam menentukan kemenangan memerangi COVID-19 yang sehingga kini telah meragut 37 nyawa di Malaysia, Dr Noor Hisham meletakkan harapan tinggi kepada orang ramai untuk menghentik­an pandemik itu daripada terus menular.

Menzahirka­n harapan tinggi supaya orang ramai mematuhi PKP dengan terus berada di rumah, beliau berkata peranan masyarakat adalah penting dalam meratakan lengkungan penularan COVID-19, sekali gus membolehka­n lebih banyak masa dan kapasiti fasiliti kesihatan untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan.

“Setiap rakyat Malaysia mesti memainkan peranan mereka dalam memerangi pandemik ini,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia