Liferiver Inc sedia bekalkan peralatan ujian COVID-19
KUALA LUMPUR: Syarikat bioteknologi utama yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Liferiver Inc bersedia untuk membekalkan peralatan ujian COVID-19 RT-PCR sehingga tiga juta sebulan kepada Malaysia jika Kementerian Kesihatan (MoH) berhasrat untuk membelinya bagi kegunaan klinikal.
Menurut kenyataan daripada Silver Stream Sdn Bhd - syarikat yang dilantik sebagai pengedar sah peralatan ujian di Malaysia - tidak seperti Rapid Test Kit, peralatan ujian Real-Time PCR Liferiver adalah perincian Nucleic Acid Test.
Ia mempunyai kepekaan dan kespesifikan yang tinggi serta menunjukkan keupayaannya di China apabila ia mempunyai ketepatan pengesanan tertinggi dalam hampir semua ujian yang dijalankan oleh pusat kawalan penyakit dan hospital di seluruh negara.
“Peralatan Ujian COVID19 kami adalah peralatan RealTime Multiplex RT-PCR yang menggunakan kaedah perincian Nucleic Acid Test dan dapat mengesan penyakit dalam masa dua jam dengan mengenal pasti tiga gen yang berbeza dengan paras ketepatan hampir 100 peratus,” menurut syarikat itu.
Liferiver telah mendaftarkan peralatan ujian Covid-19 RT-PCR dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan peralatan ujian itu kini dieksport ke lebih 40 negara di seluruh dunia, termasuk AS, Kesatuan Eropah dan negara-negara Asia.
Silver Stream adalah syarikat milik penuh Bumiputera yang membekalkan peralatan perubatan dan farmaseutikal untuk kemudahan perubatan awam.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai peralatan ujian itu boleh menghubungi Dr J. Jeeva atau Mohd Azhar Ahmad di silverstreamai@ gmail.com. — Bernama