Lelaki AS ajar anjing ‘memandu kereta’ diberkas polis
LOS ANGELES: Seorang lelaki di negeri Washington di barat Amerika Syarikat (AS) ditangkap selepas kejadian kejar-mengejar berkelajuan tinggi yang menyebabkan anggota polis tergamam selepas mereka mendapati anjing ‘pitbull’ lelaki itu yang memandu.
Insiden itu terbongkar pada tengah hari Ahad selepas polis menerima panggilan mengenai seorang pemandu melanggar dua kenderaan di sebuah kawasan selatan Seattle dan kemudian memecut pergi, anggota polis negeri Heather Axtman memberitahu AFP.
Beliau berkata perkhidmatan kecemasan kemudian menerima beberapa panggilan mengenai sebuah kereta yang bergerak dengan tidak menentu pada kelajuan lebih 100 batu sejam (160 kilometer sejam).
Axtman berkata semasa anggota polis mengejar, mereka telah menghampiri kenderaan itu – kereta model Buick 1996 – dan terkejut apabila melihat seekor anjing ‘pitbull’ di bahagian kerusi pemandu dan seorang lelaki mengendalikan stereng dan menolak pedal minyak dari kerusi penumpang sebelah.
Kejadian kejar-mengejar berakhir selepas polis menggunakan kawat berduri dan menahan Alberto Tito Alejandro berusia 51 tahun, yang dikehendaki untuk beberapa kesalahan termasuk memandu di bawah pengaruh dadah.
“Ketika kami membawa dia untuk ditahan... dia mengaku kepada anggota polis kami bahawa dia sedang cuba untuk mengajar anjingnya memandu,” jelas Axtman
“Saya telah menjadi anggota polis selama hampir 10 tahun dan saya berdepan dengan pelbagai alasan ketika saya menahan orang atau mengarahkan mereka berhenti di tepi jalan, namun saya tidak pernah menerima alasan bahawa seekor anjing telah memandu,” tambah beliau sambil ketawa.
Axtman berkata anjing ‘pitbull’ betina itu, yang tidak agresif ketika anggota polis menahan tuannya, telah ditempatkan di sebuah pusat perlindungan haiwan. — AFP