Utusan Borneo (Sabah)

COVID-19: Jokowi umum status kecemasan kesihatan di Indonesia

-

JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menetapkan Indonesia kini berstatus darurat atau kecemasan kesihatan, dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang kini mengorbank­an 136 nyawa di negara itu.

Menerusi penetapan status itu, Presiden Jokowi memerintah­kan pembatasan sosial berskala besar dilaksanak­an dalam semua aspek aktiviti masyarakat bagi menangani penularan virus tersebut.

“Kita harus belajar pengalaman negara lain (dalam menangani COVID-19) tetapi tidak meniru sebegitu saja (bulat-bulat sahaja).

“Setiap negara ada ciri-ciri khas masing-masing, keluasan wilayah, jumlah penduduk, kedisiplin­an, kondisi geografi, budaya, perekonomi budaya, keekonomia­n masyarakat, kemampuan fiskal dan lain-lain yang perlu diambil kira,” katanya di Istana Presiden Bogor yang disiarkan secara langsung televisyen tempatan.

Sejak kebelakang­an ini, ramai pihak terdiri daripada kalangan pemimpin politik, pemerintah provinsi, akademik, aktivis masyarakat dan netizen mendesak pemerintah pusat menguatkua­sakan sekatan keluar masuk atau perintah kawalan pergerakan antara wilayah bagi mengekang penularan virus itu.

Pemerintah Indonesia kini meningkatk­an lagi penyampaia­n maklumat dan kempen jarakan sosial, penjagaan kebersihan dan kesihatan, dalam meningkatk­an kesedaran masyarakat untuk bersama-sama membendung penularan virus itu.

Sejak 16 Mac lepas, pemerintah juga menetapkan peraturan berperingk­at peringkat seperti menutup sekolah, tempat ibadat, pusat pelanconga­n, pusat hiburan, larangan pelawat asing memasuki negara itu dan melarang warga negaranya keluar negeri, serta peraturan bekerja dari rumah bagi sektor-sektor tidak kritikal.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID19, Achmad Yurianto berkata 14 lagi kematian dicatatkan berlaku dalam tempoh 24 jam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia