Tahanan tidak diletak berasak-asak dalam lokap: Ismail Sabri
PUTRAJAYA: Tidak timbul isu tahanan yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diletakkan secara beramai-ramai dalam satu lokap, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata mengikut prosedur, mereka yang ditahan di sekatan jalan raya akan dibawa ke balai polis dan ditentukan sama ada dikompaun secara terus atau diberi jaminan polis untuk pulang, sementara kertas siasatan terhadap mereka dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Kita pun memang dari segi prosedur operasi standard kita, jarakan sosial adalah satu meter, jadi tak mungkin kita akan letakkan mereka berasak-asak dalam lokap.
“Jadi mereka akan dibenarkan pulang dan didakwa di mahkamah atau diberi kompaun terus di balai polis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas COVID-19 bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini semalam.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata tahap kepatuhan rakyat, bagaimanapun menunjukkan peningkatan selepas jumlah tahanan menurun sedikit kepada 742 berbanding 828 semalam.
“Saya harap trend ini berterusan. Ia satu gambaran bahawa rakyat semakin sedar tentang perlunya mereka mematuhi setiap arahan dikeluarkan kerajaan,” katanya, menambah bahawa sebanyak 1,547 sekatan dengan 383,488 kenderaan diperiksa semalam sahaja.
Setakat semalam, beliau berkata seramai 165 individu dituduh dan enam daripadanya dijatuhkan hukuman denda atau penjara.
“Saya ingin maklumkan (hukuman) penjara dikenakan kepada pesalah yang ingkar ialah satu hingga empat bulan, jadi saya harap semua rakyat perlu melihat bahawa perintah ini satu perintah yang serius,” katanya.
Ismail Sabri berkata pada masa ini “semuanya terserah kepada rakyat” untuk menentukan sama ada PKP akan diteruskan ke fasa ketiga, pada bulan puasa, begitu juga ketika Hari Raya Aidilfitri.
“Jika kita (rakyat) terus mematuhi setiap arahan dan SOP (prosedur operasi standard) dikeluarkan kerajaan, saya percaya perkara tentang ketakutan kita untuk penyambungan PKP itu akan dapat kita hindarkan,”
Mengenai aduan sesetengah pihak yang masih ditahan polis dan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) di sekatan jalan raya walaupun mengemukakan surat pengesahan daripada majikan, Ismail Sabri berkata selain mereka yang bertugas di perkhidmatan penting negara, antara yang dibenarkan beroperasi adalah syarikat serta kilang yang dibenarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Jadi mungkin ada kilang yang beroperasi sekarang ini dan mereka mengemukakan surat tetapi pihak polis dapati berbeza dengan senarai daripada MITI...jadi mungkin inilah antara sebab tindakan diambil polis,” katanya.
Ditanya adakah kerajaan akan mencontohi polis Terengganu
yang menggunakan sistem penggiliran berasaskan nombor pendaftaran kenderaan bagi mengehadkan pergerakan kenderaan di jalan raya sepanjang PKP, beliau berkata kerajaan akan mengkajinya terlebih dahulu.
“Itu satu modul yang bagus, tetapi kita akan lihat kerana mungkin di Terengganu jumlahnya agak kecil, sedangkan di seluruh negara jumlahnya agak besar terutamanya di Kuala Lumpur dan sebagainya.
Berbagai-bagai cadangan sebenarnya oleh masyarakat. Ada yang minta supaya kita celup jari seperti mengundi, ada cadang pakai kad dan pelbagai lagi. Semua cadangan itu boleh dipertimbangkan dan akan tengok secara terperinci setiap cadangan,” katanya.
Mengenai mereka yang perlu bekerja secara syif melepasi pukul 10 malam sepanjang tempoh PKP fasa kedua dikuatkuasakan, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mendapatkan maklumat lanjut sebelum mengeluarkan SOP yang baharu.
PKP fasa kedua antara lain hanya membenarkan kenderaan awam beroperasi dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam, manakala kenderaan persendirian termasuk perkhidmatan e-hailing dan teksi antara 6 pagi sehingga 10 malam. — Bernama