Bantuan makanan diagihkan di Kemabong
KEMABONG: Sebanyak 6,757 daripada 7,000 orang Ketua Isi Rumah (KIR) yang didaftarkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong menerima bantuan keperluan makanan masing-masing yang terjejas dengan wabak virus COVID19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Jamawi Jaafar berkata, sumbangan itu telah diserahkan kepada pengerusi Majlis Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan masing-masing selain diserahkan beliau sendiri kepada para penerima.
“Selama lima hari usaha kita lakukan bagi menghantar bantuan ini, bagaimanapun bagi mereka yang terlepas pandangan, kita masih menyimpan baki bantuan bakul makanan sebanyak 700 bakul di Pusat Khidmat ADUN Kemabong.
“Bagi mereka yang belum memperolehinya boleh berhubung dengan pengerusi MPKK masing-masing untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hari kelima agihan sumbangan itu di sini kelmarin.
Ketika diajukan soalan tentang komen netizen yang tular di media sosial tentang sumbangan berkenaan yang tidak seimbang dengan jumlah peruntukan RM100 untuk satu (KIR) Jamawi berkata, kerajaan hanya memperuntukkan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk diagihkan kepada 1,000 orang (KIR) terutamanya ibu tunggal, warga emas dan OKU sebagai penerima, yang mana ia tidak mencukupi untuk diagihkan kepada (KIR) khususnya di DUN Kemabong yang berjumlah 7,000 orang yang semuanya terkesan dengan virus COVID-19.
“Kita mengambil insiatif menambah peruntukan itu melalui sumber lain termasuklah menggunakan peruntukan sentuhan kasih yang diperuntukkan kepada setiap ADUN bagi menambah peruntukan dan menyelaraskan bantuan untuk membolehkan semua (KIR) yang terkesan dengan COVID-19 memperolehi bantuan walaupun kadarnya tidak seberapa namun sekurang-kurangnya dapat meringankan beban rakyat,” katanya.
Jamawi ketika ditemui turut berterima kasih kepada Menteri Pembangunan Insfrastruktur yang juga ADUN Melalap Datuk Peter Anthony yang menyumbang 1,000 bungkusan makanan untuk diagih-agihkan di kawasan Kemabong.
Dalam pada itu Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan mengingatkan agar rakyat khususnya di Kemabong agar jangan terpengaruh dengan pelbagai provokasi yang tular di media sosial mengenai isu bantuan terbabit.
Jelasnya, daripada bercakap mengenai isu terbabit lebih baik rakyat berterima kasih kepada kerajaan yang cakna dan sedia memberikan bantuan kepada rakyat.
“Apa yang penting kita perlu bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan yang diberikan dan sebaiknya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan agar virus COVID-19 dapat diputuskan dan rakyat kembali hidup dalam suasana yang aman dan sihat bagi meneruskan aktiviti seharian,” katanya.