Utusan Borneo (Sabah)

MKAKK uji 7,173 sampel untuk pengesanan COVID-19

- Oleh Siti Aisyah Narudin

KOTA KINABALU: Sebanyak 7,173 sampel diambil untuk ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK) sehingga 31 Mac 2020.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, pada 31 Mac 2020, sejumlah 600 ujian dijalankan dan daripada jumlah itu, lima sampel didapati positif iaitu tiga kes baharu dan dua lagi sampel ulangan.

Menurutnya, ujian pengesanan dan pengesahan jangkitan COVID-19 adalah melalui teknik rRT-PCR dan semua ujian pengesanan dan pengesahan bagi seluruh Sabah dijalankan di MKAKK.

Katanya, makmal berkenaan mula menjalanka­n ujian pengesahan COVID-19 sejak 8 Februari 2020, manakala Makmal Hospital Queen Elizabeth (HQE) memulakan perkhidmat­an ujian pengesanan dan pengesahan jangkitan COVID-19 sejak 30 Mac 2020.

“Sehingga jam 8 pagi 1 April lepas, seramai 196 pesakit COVID-19, 87 individu di bawah siasatan (PUI) dan 22 pesakit dengan ‘Severe Acute Respirator­y Infection’ (SARI) sedang dirawat di enam hospital berpakar seluruh Sabah.

“Bilangan pesakit COVID-19 yang sembuh kekal 12 orang dan jumlah keseluruha­n kes COVID-19 di Sabah sehingga 1 April 2020 adalah sebanyak 209 kes dengan penambahan tiga kes baharu masing-masing dari

Sandakan, Penampang dan Semporna,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pusat kuarantin di negeri ini kekal 25 buah dan seramai 731 orang masih berada di pusat kuarantin manakala 66 orang dibenarkan pulang kelmarin.

Katanya, bilangan terkumpul dalam pemantauan perintah pengawasan dan pemerhatia­n kuarantin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 sehingga 31 Mac 2020 adalah seramai 7,717 orang.

Menurutnya, bilangan kontak rapat yang masih dalam perintah pengawasan dan pemerhatia­n Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) adalah seramai 6,512 dan bilangan kontak rapat yang tamat tempoh kuarantin 14 hari adalah seramai 1,150 orang.

“Sehingga kini, sebanyak 702 premis diperiksa di seluruh negeri dan hasil operasi, sebanyak tiga premis perniagaan di Sandakan diarah tutup di bawah Seksyen 18(1)(f) APPPB 1988.

“Pihak JKNS ingin menegaskan sekali lagi kepentinga­n mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian COVID-19 dalam masyarakat,” jelasnya.

 ??  ?? CHRISTINA
CHRISTINA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia