Utusan Borneo (Sabah)

PKP fasa kedua diharap mendapat kerjasama lebih baik daripada rakyat

-

BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melihat kepada alasan yang munasabah untuk memberi kebenaran seseorang itu berada di luar rumah namun tetap melaksanak­an tindakan tegas melalui tangkapan sekiranya ada yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 yang melanda negara.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superinten­den Zulkipli Suhaili berkata pihaknya akan melihat alasan munasabah tersebut, itu pendekatan yang digunakan semasa menguatkua­sakan pelaksanaa­n PKP.

“Kalau kita tengok balik statistik terkini jumlah keseluruha­n tangkapan adalah 27 kes dan sehingga semalam seramai 19 orang telah dituduh di mahkamah.

“Kebanyakan yang ditangkap memberi alasan tidak munasabah dan tangkapan yang kita buat adalah setelah tiada aktiviti sehingga jam 7 malam dan ada yang dikenal pasti oleh PDRM dan ATM masih berada di jalan tanpa alasan munasabah selepas jam 7 malam,” katanya ketika ditemui media semasa meninjau dan memantau sekatan jalan raya di Jalan Tun Hussein Onn bagi kenderaan menghala dari Jalan Miri ke pusat bandar semalam.

Katanya, mereka yang dituduh itu akan ditentukan di peringkat mahkamah dan ada juga yang telah dijatuhi hukuman penjara dan denda.

Beliau berkata, fasa kedua bermula pada 1 April hingga 14 April merupakan dasar yang ditetapkan kerajaan dan melihat kepada fasa pertama pematuhan PKP khususnya di daerah Bintulu ini adalah lebih daripada 95 peratus.

Ujarnya, semua pihak sedia maklum memang ada kenderaan bergerak di jalan raya dan berdasarka­n pemeriksaa­n, kebanyakan aktiviti orang ramai di Bintulu ini adalah berada di bawah perkhidmat­an penting seperti industri.

Selain itu katanya, statistik juga mendapati pergerakan orang ramai di Bintulu adalah untuk mendapat rawatan di hospital dan sebagainya di samping untuk membeli keperluan asas.

“Mereka yang bekerja di bawah perkhidmat­an penting ini apabila ditahan pihak polis dan ATM telah mengemukak­an surat daripada majikan masing-masing namun saya berharap kerjasama lebih baik lagi daripada masyarakat supaya kita dapat memutuskan rantaian COVID-19,” jelasnya.

Katanya, pada dasarnya banyak fasiliti seperti institusi perbankan dan sebagainya di Bintulu serta terdapat juga keperluan khususnya penduduk di kawasan luar bandar seperti Sebauh dan Tatau yang perlu ke pusat bandar untuk mendapatka­n perkhidmat­an.

Dalam pada itu, anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik PDRM Bintulu Sarjan Mohd Arif Yahya@Bob, 58, yang mengetuai tugasan sekatan di Jalan Tun Hussein Onn di sini berkata, kebanyakan pengguna atau pemandu kenderaan mematuhi PKP yang ditetapkan dengan tidak membawa penumpang lebih atau anak-anak melainkan sebagai pemandu untuk menghantar ahli keluarga bekerja dan sebagainya meskipun banyak kenderaan bergerak di jalan raya.

Katanya, kebanyakan yang diperiksa adalah penghantar makanan, para pekerja, pemandu lori dan orang awam yang mempunyai surat daripada majikan, surat janji temu rawatan dengan doktor di hospital termasuk untuk membeli barang keperluan asas di pasar pusat bandar.

Dengan pemeriksaa­n sekitar 1,000 kenderaan setiap hari selama enam jam mengikut syif katanya, tiada masalah untuk pihaknya melakukan tugasan sekatan memandangk­an kerja itu telah biasa dilakukan dan tidak timbul masalah keletihan bahkan anggota yang bertugas juga masih muda.

“Antara yang diperiksa adalah kebanyakan­nya yang hendak ke hospital mendapat rawatan, mereka yang pergi dan balik kerja(perkhidmat­an penting) yang mana mempunyai surat daripada majikan atau jabatan masing-masing dan membeli makanan dengan penetapan seorang ketua keluarga sahaja,” katanya semasa ditemui semalam.

Menurutnya, giliran bertugas yang ditetapkan semasa tempoh PKP untuk PDRM adalah empat syif dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 6 petang, 6 petang hingga 12 tengah malam dan 12 tengah malam hingga 6 pagi.

Manakala ATM pula katanya, mereka berkawal dalam tiga syif dari jam 8 pagi hingga 4 petang, 4 petang hingga 12 tengah malam dan 12 tengah malam hingga 8 pagi.

Dalam tempoh bertugas selama 24 jam oleh PDRM dan ATM itu, Mohd Arif turut menyatakan harapan besarnya agar wabak COVID-19 itu akan lenyap sekali gus orang ramai dapat meneruskan kehidupan harian seperti biasa.

 ??  ?? ZULKIPLI
ZULKIPLI
 ??  ?? MOHD ARIF
MOHD ARIF

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia