Utusan Borneo (Sabah)

Bukit Aman pastikan arahan PKP dipertingk­at, kata Acryl Sani

-

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperketa­tkan penguatkua­saan agar kadar pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat kepada 100 peratus di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Keselamata­n Dalam Negeri dan Ketenteram­an Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata ini berikutan masih terdapat segelintir orang awam yang tidak mematuhi arahan PKP.

Beliau berkata antara alasan diberikan mereka tidak munasabah dan kononnya tidak tahu mengenai arahan PKP yang sudah masuk hari ke-16 pelaksanaa­nnya, semalam.

“Sebagai contoh, alasan keluar rumah untuk membeli roti, air dan rokok pada jam 11 malam adalah tidak munasabah kerana orang awam sudah diberitahu bahawa semua kedai ditutup pada 8 malam serta tidak dibenarkan keluar rumah selepas 10 malam.

“Orang awam perlu peka dan mematuhi arahan PKP yang dikeluarka­n pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak COVID19,” katanya ketika ditemui pemberita di Plaza Tol PJS2, di sini, tengah malam kelmarin.

Acryl Sani berkata pihaknya serius dan mahu arahan PKP itu dipatuhi orang awam di seluruh negara agar wabak berkenaan dapat dibendung.

“Ketika ini, kita semua sedang melawan sesuatu yang tidak nampak (wabak COVID-19), sekiranya kita leka maka ia akan menggagalk­an misi untuk memastikan kadar kes direkodkan kepada sifar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi di daerah itu yang dianggap ‘meriah’ apabila masih ramai orang awam ingkar arahan PKP di kawasan tersebut.

Beliau berkata berdasarka­n pemerhatia­n pihaknya, lokasi berkenaan adalah di Taman Medan, Taman Dato Harun, Ara Damansara dan Damansara Damai, di sini.

“Pihak polis akan memberi nasihat dan amaran terlebih dahulu kepada orang awam supaya tidak keluar rumah sebelum 10 malam.

“Sekiranya masih ada orang awam yang ingkar arahan PKP (selepas 10 malam), kami akan terus membuat tangkapan,” katanya lagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia