Utusan Borneo (Sabah)

COVID-19: Kerajaan N. Sembilan terima sumbangan RM1 juta daripada TNB

-

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menerima sumbangan wang tunai RM1 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membantu meringanka­n beban kerajaan negeri dalam memerangi penularan wabak COVID-19.

Sumbangan itu disampaika­n oleh Ketua Pegawai Usahaniaga TNB, Datuk Nor Azman Mufti bersama Ketua Perkhidmat­an Pelanggan TNB Negeri Sembilan, Mahamad Farizan Mahamad kepada Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini, kelmarin.

TNB dalam kenyataann­ya semalam menyatakan bantuan kewangan daripada TNB itu membolehka­n kerajaan Negeri Sembilan melalui Jabatan Kesihatan Negeri mendapatka­n peralatan penjagaan kesihatan dan perubatan segera diperlukan dalam usaha memerangi wabak COVID-19.

Menurut kenyataan itu, sumbangan melalui inisiatif ‘Corporate Malaysia Against COVID-19 Action Coalition’ itu adalah sebagai tambahan kepada RM10 juta yang diberikan TNB kepada Kementeria­n Kesihatan Malaysia bagi membantu menambah bekalan perubatan yang tidak mencukupi ketika negara bergelut bagi membendung COVID-19.

Di ALOR SETAR, TNB semalam menyumbang RM2 juta untuk diagihkan kepada hospital kerajaan di Kedah yang terlibat secara langsung dalam proses saringan dan rawatan pesakit COVID-19.

Ketua Perkhidmat­an Pelanggan TNB Kedah, Wan Ishak Soed berkata inisiatif itu adalah program tanggungja­wab sosial korporat syarikat berkenaan dalam usaha bersama memerangi wabak COVID-19 di negeri itu.

“Hospital yang terbabit secara langsung dalam menghadapi COVID-19 amat memerlukan bantuan dari segi tenaga dan kewangan bagi memperoleh peralatan tambahan untuk rawatan dan kawalan wabak itu.

“Dari segi teknikal, TNB sudah sediakan pelan kontinjens­i dan berusaha memastikan bekalan elektrik kepada semua hospital, klinik kerajaan serta stesen kuarantin tidak terganggu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahka­n sumbangan itu kepada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Wisma Darul Aman.

Di Kedah, empat hospital terlibat secara langsung dengan proses saringan dan rawatan pesakit COVID19 iaitu Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar; Hospital Sultanah Maliha di Langkawi; Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani; dan Hospital Kulim, manakala dua daripada 37 stesen kuarantin yang diwartakan, sudah beroperasi buat masa ini.

Sementara itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri amat menyambut baik sumbangan daripada pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti TNB dalam membantu mengekang penularan wabak itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia