Utusan Borneo (Sabah)

12,413 sampel untuk ujian COVID-19

Rakyat perlu terus amal langkah pencegahan dan sentiasa mematuhi PKP

- Oleh Siti Aisyah Narudin CHRISTINA

KOTA KINABALU: Sebanyak 12,413 sampel diambil daripada 195,350 orang yang menjalani saringan pemeriksaa­n COVID-19 di negeri ini sehingga 7 April 2020.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, pada 6 April 2020, sebanyak 928 ujian COVID-19 dijalankan dan sebanyak 10 ujian didapati positif termasuk sembilan sampel ulangan.

Menurutnya, sehingga jam 8 pagi 6 April 2020, seramai 177 pesakit COVID-19, 85 individu di bawah siasatan (PUI) dan 43 pesakit dengan 'Severe Acute Respirator­y Infection' (SARI) sedang dirawat di enam hospital pakar di seluruh Sabah.

Dalam tempoh yang sama katanya, jumlah kumulatif pesakit sembuh dari jangkitan COVID-19 adalah seramai 61 orang.

"Sehingga 7 April 2020, sebanyak 241 kes positif COVID-19 dilaporkan di Sabah dengan penambahan satu kes dari Putatan.

"Rakyat Sabah perlu terus mengamalka­n langkah-langkah pencegahan serta mematuhi arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana masih terdapat sampel yang akan diproses," katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata, sebanyak 24 pusat kuarantin sedang beroperasi dengan penambahan dua pusat baharu iaitu Kompleks Sukan Putatan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 Kota Marudu.

Setakat ini katanya, seramai 70 orang ditempatka­n di pusat kuarantin di seluruh Sabah menjadikan kumulatif yang masih berada di pusat kuarantin sebanyak 859 orang dan seramai 19 orang dibenarkan pulang kelmarin.

Dalam pada itu jelasnya, bilangan terkumpul mereka yang dalam pemantauan perintah pengawasan dan pemerhatia­n kuarantin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 sehingga 5 April 2020 adalah seramai 10,624 orang.

Menurutnya, bilangan kontak rapat yang masih dalam perintah pengawasan dan pemerhatia­n oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) adalah seramai 6,241 dan bilangan kontak rapat yang tamat tempoh kuarantin 14 hari adalah seramai 4,383 orang.

"Perkhidmat­an Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososia­l (MHPSS) yang dikendalik­an oleh ahli MHPSS terlatih dijalankan di semua daerah di Sabah. "Setakat ini, pasukan MHPSS memberikan intervensi kepada seramai 4,104 orang awam dan kakitangan kesihatan. Sebanyak 2,628 panggilan telefon, 1,048 psikoeduka­si, 3,220 maklumat infografik melalui aplikasi WhatsApp dilakukan termasuk panggilan video dan kaunseling.

"Orang awam boleh menghubung­i talian awam MHPSS di Bilik Gerakan MHPSS

JKNS di talian 088-230987 setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang," katanya.

Beliau berkata, pengesanan beberapa kes positif COVID-19 dalam kalangan anggota kesihatan dijalankan melalui program saringan ke atas kakitangan yang baharu melapor diri, mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau kontak kepada kes COVID-19.

Katanya, program saringan itu dijalankan oleh Unit Kesihatan Pekerjaan di semua fasiliti kesihatan di Sabah. Ia bagi memastikan anggota dan fasiliti kesihatan bebas daripada jangkitan COVID-19.

Pihaknya turut merakamkan penghargaa­n kepada warga tempatan Lahad Datu atas keprihatin­an dan sokongan yang diberikan menerusi artikel bertajuk 'Dua rakan jahitkan baju untuk pesakit COVID-19' yang dimuat naik di laman sesawang Astro Awani pada 3 April lepas.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia