Utusan Borneo (Sabah)

Seramai 454 individu ditahan ingkar PKP: Ismail Sabri

-

PUTRAJAYA: Jumlah tangkapan individu yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat kepada 454 pada Selasa berbanding 403 pada Isnin, iaitu peningkata­n 13 peratus.

Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 380 individu ditahan reman manakala selebihnya 74 orang telah dibebaskan dengan jaminan.

“Kerajaan dimaklumka­n bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkomprom­i sedikit pun dengan sesiapa yang ingkar kepada perintah yang dikeluarka­n. Tindakan lebih tegas telah dilaksanak­an PDRM bagi memastikan tiada pelanggara­n perintah berlaku.

“Saya harap rakyat kita patuhlah kepada setiap arahan yang dikeluarka­n kerajaan kerana jika tidak mereka akan dikenakan tindakan oleh pihak polis dan sebagainya,” katanya dalam sidang media harian berkaitan perkembang­an PKP di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata sejak PKP dilaksanak­an pada 18 Mac hingga semalam, seramai 6,905 individu telah ditahan kerana ingkar.

Menurut beliau, semalam PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 758 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaa­n ke atas 441,893 kenderaan.

Pada masa sama, beliau berkata sebanyak 35,263 pemeriksaa­n mengejut diadakan di seluruh negara dan 5,580 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, mengenai operasi sanitasi awam, beliau berkata sejak 30 Mac sehingga kini Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanak­an 807 operasi sanitasi di 86 zon termasuk 21 Zon Merah dan 18 Zon Jingga.

“Semalam, sebanyak 141 operasi sanitasi meliputi 54 zon di 12 negeri, termasuk 39 kawasan di Johor dan 27 kawasan di Melaka.

“Kawasan yang turut dinyah cemar turut meliputi 621 bangunan kerajaan dan 370 tempat awam,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan 12,459 unit rumah telah dinyah cemar dan sebanyak 14 PPR dalam proses nyahcemar melibatkan 19,342 unit rumah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia