Utusan Borneo (Sabah)

Bekalan penutup mulut dan hidung dalam pasaran meningkat 25%: KPDNHEP

-

PUTRAJAYA: Bekalan penutup mulut dan hidung di pasaran kini meningkat kepada 25 peratus berbanding antara tiga hingga empat peratus sebelum ini, kata Pengarah Penguatkua­sa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

“Ini bermakna daripada 100 kedai yang kita periksa, 25 kedai ada bekalan (penutup mulut dan hidung),” katanya kepada pemberita semasa membuat pemantauan bekalan barangan keperluan di Pasaraya Tesco, IOI City Mall di sini, semalam.

Namun, katanya peningkata­n bekalan itu masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Menurut Iskandar Halim, permintaan penutup mulut dan hidung di seluruh negara ketika ini termasuk untuk hospital dianggarka­n lima juta keping sehari, dengan pengeluara­n oleh pengilang tempatan hanya 1.1 juta keping sehari dan selebihnya diimport.

KPDNHEP juga sentiasa memantau untuk memastikan harga penutup mulut dan hidung tidak melebihi harga maksimum RM1.50 sekeping bagi penutup tiga lapis, katanya sambil menambah, setakat ini pematuhan dalam kalangan peniaga adalah sangat baik.

Bekalan cecair pembasmi kuman juga sudah meningkat di pasaran iaitu hampir 60 peratus.

Dalam pada itu, Iskandar Halim berkata tiga lelaki dikenakan kompaun berjumlah RM250,000 kerana bertindak menyorok bekalan penutup mulut dan hidung melebihi harga maksimum susulan satu serbuan terhadap sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 25 Mac lepas.

Sebanyak 223,000 unit penutup dengan tiga lapis bernilai RM446,000 turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati penutup mulut dan hidung berkenaan disorok untuk dijual melalui media sosial dengan harga yang tinggi iaitu RM3.50 sekeping,” katanya

Menurutnya, suspek pertama berumur 31 tahun melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) kerana menjual topeng muka melebihi harga maksimum dan lelaki itu dikenakan kompaun RM50,000.

Manakala, suspek kedua dan ketiga yang masing-masing berumur 39 tahun dan 54 tahun, dikenakan kompaun RM100,000 seorang atas kesalahan di bawah Seksyen 15, Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) kerana menyembuny­ikan 216,500 unit penutup dengan tiga lapis. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia