Utusan Borneo (Sabah)

Kekurangan bekalan telur di sesetengah kawasan kerana masalah logistik

-

PUTRAJAYA: Kesukaran mendapatka­n telur di sesetengah kawasan adalah disebabkan masalah penghantar­an bekalan yang lambat, di samping permintaan yang tinggi ketika ini.

Pengarah Penguatkua­sa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata pengeluar telur telah memberi jaminan bahawa bekalan telur adalah mencukupi bagi memenuhi permintaan dalam negara.

“Oleh kerana permintaan (telur) sangat tinggi, tempat yang agak jauh dari lokasi pengeluar bekalan agak lambat sampai.

Tetapi pengeluar telah memberi jaminan bekalan mencukupi dan melebihi permintaan, malah lebihannya boleh dieksport pula,” katanya kepada pemberita semasa membuat pemantauan bekalan barangan keperluan di Pasar Raya Tesco, IOI City Mall, di sini semalam.

Dalam pada itu, katanya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuas­akan pada 18 Mac lepas hingga 6 April, sebanyak 15,959 pemeriksaa­n telah dijalankan terhadap peruncit, pemborong dan pengilang di seluruh negara.

Iskandar Halim berkata KPDNHEP menerima sebanyak 1,466 aduan berkaitan bekalan dan harga barangan keperluan dengan kebanyakan­nya berkaitan berkaitan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman.

“Aduan berkaitan harga dan bekalan barangan keperluan tidak banyak antara 200 hingga 300 sahaja,” katanya.

Berdasarka­n siasatan terhadap aduan berkenaan, katanya KPDNHEP telah mengeluark­an sebanyak 65 notis terhadap peniaga kerana mencatut di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Dalam pada itu, Iskandar Halim menasihatk­an pengguna yang ingin membuat aduan agar memberikan maklumat terperinci bagi memudahkan siasatan KPDNHEP.

“Ada yang mengadu kepada kita harga telur mahal, tetapi tidak beritahu berapa harga, di mana kedai itu dan sebagainya. Jadi sukar untuk kita siasat,” katanya.

Iskandar Halim berkata aduan boleh disalurkan melalui portal rasmi KPDNHEP; atau menghubung­i bilik gerakan kementeria­n di talian 03-8882 6245; atau talian bebas tol 1-800-886800; atau e-mel kepada http://e-aduan.kpdnhep. gov.my; atau khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 dengan menaip KPDNHEP ADUAN atau melalui aplikasi telefon pintar EzAdu KPDNHEP. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? PANTAU: Halim (tengah) ketika membuat pemantauan barang-barang keperluan ke Pasaraya TESCO @ IOI City Mall semalam.
— Gambar Bernama PANTAU: Halim (tengah) ketika membuat pemantauan barang-barang keperluan ke Pasaraya TESCO @ IOI City Mall semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia