Utusan Borneo (Sabah)

Modal RM24,000 lesap ditipu peniaga penutup hidung dan mulut

-

KUANTAN: Hasrat seorang peniaga untuk menjual penutup hidung dan mulut bukan sahaja tidak kesampaian, malah mendakwa modal berjumlah RM24,000 lesap, akibat diperdayak­an penjual barangan itu di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 31 tahun mendakwa berurusan dengan seorang suspek lelaki, yang mengiklank­an perkhidmat­an membekalka­n penutup hidung dan mulut di sebuah kumpulan WhatsApp, pada 24 Mac.

Mangsa mendakwa telah membuat bayaran penuh bagi membeli 400 kotak penutup hidung dan mulut pada 24 Mac lalu, dan dimaklumka­n barangan itu akan dihantar menerusi perkhidmat­an kurier yang mengambil masa selama tiga hari, untuk tiba.

“Bagaimanap­un, mangsa mendakwa masih tidak menerima barangan itu sehingga semalam (kelmarin). Suspek juga memberi pelbagai alasan menyebabka­n mangsa akhirnya marah dan membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Wazir berkata laporan dibuat di Balai Polis Jaya Gading di sini, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, seorang remaja perempuan berusia 20 tahun mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket cabutan bertuah, kononnya anjuran sebuah syarikat telekomuni­kasi sehingga mengalami kerugian RM12,685.50.

Mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan mendakwa, menerima pesanan WhatsApp dua hari lalu, memaklumka­n nombor telefonnya telah memenangi cabutan bertuah berupa wang tunai berjumlah RM12,000.

“Mangsa diarahkan untuk menghubung­i nombor telefon yang disertakan bersama pesanan WhatsApp itu bagi urusan tuntutan hadiah, dan seorang suspek lelaki telah memberitah­u mangsa perlu membuat sedikit bayaran sebelum boleh menerima hadiah.

“Suspek juga didakwa memberi nombor akaun yang perlu digunakan mangsa bagi transaksi pemindahan wang bagi tujuan bayaran dan berjanji semua wang tersebut akan dipulangka­n bersama duit cabutan bertuah,” katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa yang mempercaya­i helah itu mendakwa telah membuat sembilan transaksi pemindahan wang ke dalam akaun diberikan suspek, sebelum menyedari dirinya berkemungk­inan menjadi mangsa penipuan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia